KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dijangka membentangkan kertas laporan mengenai isu tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).
Ia selepas Mahkamah Agung negara itu membatalkan tarif import yang disifatkan sebagai tidak berpeflembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini kerajaan mengambil pendekatan untuk menunggu laporan terperinci daripada MITI yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat ini.
“(Menteri MITI) Datuk Seri Johari (Ghani) telah memberikan penjelasannya (sebelum ini), kita akan mendapatkan penjelasan lebih terperinci baru kita akan memberi respon. Tunggu mesyuarat (Jemaah Menteri) hari Jumaat ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, selain meneliti perkembangan terkini itu, MITI juga sedang mengkoordinasi maklumat dengan Washington serta rakan-rakan di ASEAN berhubung perkara itu.
“Kita lihat nanti macam mana tindakannya. Tunggu mesyuarat pada hari Jumaat ini,” katanya.
Sabtu lalu, Mahkamah Agung AS memutuskan Presiden, Donald Trump telah melampaui kuasanya dalam mengenakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).
Susulan keputusan itu, Trump kemudiannya mengugut akan mengenakan tarif seragam 10 peratus ke atas semua barangan import di bawah kuasa berasingan.
Malaysia dan AS menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas semasa kunjungan Trump ke Kuala Lumpur ketika Sidang Kemuncak Asean tahun lalu.
Perjanjian berkenaan mengekalkan tarif 19 peratus ke atas barangan Malaysia namun produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.
Susulan perkembangan itu, Johari memaklumkan MITI sedang memantau rapi perkembangan tersebut walaupun Malaysia sudah menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS tahun lalu.
Bagaimanapun, Putrajaya masih belum meratifikasi perjanjian itu.-UTUSAN











