PETALING JAYA: Seorang pesara lelaki kerugian RM303,958.50 selepas diperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Facebook pada Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kejadian yang berlaku 9 Disember lalu itu bermula apabila mangsa berusia 81 tahun itu menekan pautan pelaburan melalui aplikasi Facebook dan terus dimasukkan ke dalam kumpulan Wealth Selection Circle 111 yang mempromosikan sistem SAC dengan janji keuntungan tinggi.
Menurutnya, pengadu telah melabur kira-kira RM500,000 melalui aplikasi (Sacia Pro) dan diberitahu kononnya memperoleh keuntungan melebihi RM9 juta, namun untuk mengeluarkan wang, dia diminta membayar komisen 12 peratus, bersamaan RM110,000, yang telah dibayarnya.
“Walaupun dijanjikan pengeluaran boleh dilakukan tanpa bayaran tambahan, pihak terbabit menyekat pengeluaran dan menuntut komisen tambahan melebihi RM1 juta. Semua pembayaran dilakukan melalui pindahan bank mangsa ke akaun suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Chang Hook, hasil siasatan menunjukkan mangsa ditipu selepas mengikuti iklan pelaburan di Facebook dan membuat 15 transaksi ke empat akaun bank berbeza bagi tujuan pelaburan.
Mangsa hanya sedar ditipu selepas diminta membayar bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan, menyebabkan kerugian sebanyak RM303,958.50.
“Mangsa telah hadir ke balai polis untuk membuat laporan bagi tindakan selanjutnya. Semakan lanjut mendapati dua akaun bank suspek masing-masing terlibat dengan lima dan 15 kes penipuan.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.-UTUSAN











