Pengemis kostum ganggu keselesaan pelancong

Pengemis kostum ganggu keselesaan pelancong

bercuti
Pemakaian kostum karakter popular yang pernah menjadi tarikan di Pantai Teluk Cempedak kini menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pengunjung.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Fenomena pemakaian kostum karakter popular yang pernah menjadi tarikan di Pantai Teluk Cempedak kini menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pengunjung apabila terdapat segelintir individu bertindak meminta sedekah secara agresif.

Pengerusi Persatuan Peniaga Teluk Cempedak, Yusri Hashim berkata, pada peringkat awal kemunculannya sekitar 2015 dan 2016, pemakai kostum tersebut bukan bertujuan mengemis sebaliknya sekadar menghiburkan pengunjung.

“Dulu kita panggil mereka sebagai cosplay. Mereka ini orang seni, buat sendiri kostum dan datang untuk beraksi. Kalau ada pengunjung yang mahu bergambar, barulah diberi sumbangan secara sukarela.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia jadi satu tarikan. Ramai yang datang ke Teluk Cempedak bukan sahaja untuk menikmati pantai, tetapi juga untuk bergambar dengan karakter unik ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia. 

Bagaimanapun Yusri berkata, bermula sekitar 2016, jumlah individu berkostum semakin bertambah dan pendekatannya juga berubah.

Menurutnya, terdapat segelintir yang hadir semata-mata untuk meminta sedekah dengan menghulurkan tabung kepada pengunjung tanpa menunggu permintaan bergambar.

“Ada pengunjung mengadu kurang selesa apabila mereka terlalu mendekati, terutama kanak-kanak yang ketakutan namun mereka masih cuba berinteraksi. 

“Malah ada dakwaan mengatakan terdapat segelintir mereka cuba menyentuh pengunjung wanita ketika bergambar sehingga timbul situasi kurang enak.

“Situasi sebegitu akan memberi imej kurang baik kepada kawasan pantai yang berada dalam kawalan pihak berkuasa tempatan ini,” ujarnya.

Yusri berkata, sebelum ini bilangan mereka pernah mencecah lebih 10 orang dan ada individu yang mengupah sehingga lima orang untuk memakai kostum tertentu.

Katanya, ketika fenomena itu berada di kemuncak, pendapatan yang diperoleh agak lumayan sehingga ada yang mampu membeli kenderaan hasil aktiviti tersebut.

“Bukan semua mengemis. Masih ada yang benar-benar buat persembahan dan aksi untuk hiburkan orang ramai.  

“Tetapi kita tidak mahu seni yang dulu jadi tarikan bertukar menjadi sesuatu yang mencemarkan imej pantai,” katanya.

Beliau berharap pihak berkaitan dapat meneliti semula garis panduan bersesuaian supaya Teluk Cempedak kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan imej positif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini