Yaakub Yusra nafi seleweng dana pusat pendidikan

Yaakub Yusra nafi seleweng dana pusat pendidikan

Mohammad Yaakub Yusra Yusuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pendakwah bebas, Mohammad Yaakub Yusra Yusuf mendakwa beliau tidak melakukan apa-apa bentuk penyelewengan terhadap kutipan dana melibatkan Murtadha Dakwah Centre (Madad).

Beliau yang tampil memberikan penjelasan berhubung penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini berkata, perkara yang terjadi mungkin disebabkan isu teknikal dalam pengurusan kewangan.

Mohammad Yaakub Yusra pada masa sama turut meminta semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan SPRM kerana proses siasatan berjalan dengan baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tak boleh nak manipulasi apa-apa pun. Money trail (jejak aliran wang) dah dibuat, Alhamdulillah tidak ada cuci duit, tak ada penyelewengan. Cuma, isu-isu teknikal dari segi kelulusan, jadi tak apa lah doa yang baik-baik Insya-Allah jangan risau. 

“Alhamdulillah dapatan daripada Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), justifikasi semua sebab kebanyakan iklan-iklan Madad menggunakan kad kredit saya. Jadi itu yang nilaian untuk tahun 2020 sampai 2025 lebih RM1 juta.

“Sewaras akal ini, saya rasa tak ada lah untuk ambil duit dan saya pun tak ada apa-apa tambahan aset. Rumah pun tak ada, kereta BYD saya masih hutang dengan bank, Mazda pun berhutang dengan bank. Jadi, saya tak tahu kat mana yang mewah itu,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Madad berkata demikian menerusi klip video di aplikasi media sosial yang dirakam semula daripada penstriman langsung di Kompleks Madad Sungai Petani, di sini.

Pada 5 Februari lalu, SPRM menahan dua individu termasuk seorang pendakwah bebas bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan kelulusan dana berjumlah RM600,000.

Suspek bersama Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan ditahan kali kedua keesokan harinya bagi membantu siasatan bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta, sebelum kedua-dua mereka dirakam percakapan oleh Bahagian AML SPRM pada 9 Februari lalu.

Tambah Mohammad Yaakub Yusra, beliau menerima layanan yang baik sepanjang ditahan SPRM selain tiada unsur-unsur penganiayaan terhadapnya dan mengajak orang ramai menunggu sebarang pengumuman rasmi agensi itu selepas ini.

Berhubung operasi Madad, beliau memberi bayangan seperti melepaskan kesemua jawatan disandangnya kerana meminta semua pihak memberi sokongan kepada pengurusan baharu yang menggerakkan kompleks itu ketika ini.

“Bagi ruang dan peluang kepada pentadbiran yang baharu ini. Saya menyokong sepenuhnya di belakang mereka walaupun tidak ada autoriti. Insya Allah mereka boleh buat yang lebih baik daripada saya dan saya sekadar boleh aturkan apa yang terbaik,” katanya.

Ujarnya, pihak Madad juga sudah memohon agar akaun yayasan dilepaskan daripada pembekuan agar kerja-kerja operasi di Madad dapat terus berjalan terutama sepanjang Ramadan ini.

Katanya, buat masa ini pihaknya banyak bergantung kepada bantuan sukarelawan dan sumbangan pelbagai pihak menerusi akaun bank Maahad Integrasi Madad yang tidak terlibat dengan siasatan SPRM.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini