SEMENYIH: Sebanyak dua premis di Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang disyaki melakukan aktiviti haram hingga menyebabkan pencemaran bau di Sungai Kabul, di sini.
Mereka disyaki melepaskan bahan pencemar melibatkan aktiviti kitar semula minyak dan sisa plastik yang masing-masing terletak bersebelahan di sungai tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah membuka dua kertas siasatan terhadap premis berkenaan kerana didapati menjadi punca pencemaran bau sehingga enam ke tujuh ton.
Kata beliau, kertas siasatan tersebut dibuka di bawah Seksyen 79 (4) Enakmen LUAS 1999 yang sekiranya disabit bersalah, boleh didenda minimum RM200,000 sehingga RM1 juta serta mandotari penjara tidak melebihi tiga tahun.
“Sebelum ini premis tersebut pernah dikenakan tindakan di bawah Enakmen LUAS 1999, dalam bentuk kompaun iaitu pada tahun lalu. Insya-Allah kita akan mengambil tindakan yang serius terhadap aktiviti-aktiviti ini.
“Kerana jelas daripada bukti-bukti yang kita sudah ambil setakat ini, yang kita telah hantar sampelnya ke makmal, memang jelas ada pelanggaran yang menyebabkan pencemaran bau ini berlaku,” katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat kerja pembersihan di Sungai Kabul, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihak kerajaan turut mendapati terdapat beberapa lagi premis yang turut melakukan aktiviti kitar semula plastik.
Justeru itu, beliau menggesa agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk melakukan siasatan segera.
“Esok, hari ini, malam ini boleh lakukan dengan segera untuk kita semak segala aktiviti itu supaya kita elakkan dari kejadian seperti ini berulang lagi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, JAS sudah melakukan operasi penahanan di bawah Seksyen 38 (1) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127) dan MPKj pula juga sudah melakukan sitaan terhadap premis pertama.
“Itu merupakan tindakan awal yang kita buat tetapi hari ini, saya minta agensi juga semak semua premis yang berada di kawasan sekitar.
“Kerana jika kejadian boleh berlaku dari dua sumber ini, saya percaya mana-mana tempat yang tidak beroperasi dengan sah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, mungkin boleh menyebabkan pencemaran berlaku dalam keadaan serta skala yang besar seperti mana yang kita hadapi hari ini,” katanya.-UTUSAN











