GEORGE TOWN: Aroma harum kuih kolca yang digoreng panas bukan sekadar membangkitkan selera, malah menjadi simbol warisan keluarga lima generasi yang terus dipertahankan di George Town hingga ke hari ini.
Kuih tradisional itu kini diusahakan Nur Shahida Abdul Ariff, 39, yang mengambil alih legasi keluarganya sejak sembilan tahun lalu ketika neneknya, Aminah Md. Ariff tidak lagi mampu meneruskan pembuatan kuih berkenaan akibat faktor usia dan kesihatan.
Katanya, pendedahan sejak kecil terhadap proses pembuatan kuih kolca atau dikenali sebagai kuih cha dalam kalangan penduduk setempat menjadi pencetus untuk memastikan makanan tradisi itu terus kekal relevan.
“Pada mulanya saya hanya buat untuk keluarga dan jiran terdekat tetapi apabila permintaan semakin meningkat, saya mula melihat potensi untuk mengembangkannya sebagai sumber pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Nur Shahida berkata, kuih kolca diperbuat daripada bahan asas seperti tepung gandum, minyak sapi, jintan manis, telur, gula dan garam, menghasilkan tekstur rangup serta aroma tersendiri yang membezakannya daripada kuih moden lain.
Katanya, penggunaan minyak sapi dan jintan manis kekal sebagai elemen utama bagi mengekalkan keaslian resipi warisan keluarga.
Secara purata, dia mampu menghasilkan kira-kira 10 balang sehari secara bersendirian, namun jumlah itu boleh meningkat kepada 25 balang terutama menjelang Aidilfitri.
Katanya, kuih berkenaan dijual pada harga RM20-RM35 mengikut saiz dengan harga itu dikekalkan walaupun kos bahan mentah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.-UTUSAN











