Masjid lama Kampung Pelangai hampir roboh dimamah usia

Masjid lama Kampung Pelangai hampir roboh dimamah usia

KEADAAN masjid lama Kampung Pelangai, Kuala Pilah yang dibina sekitar 1930-an yang semakin uzur. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Suatu ketika dahulu, masjid lama Kampung Pelangai di sini menjadi pusat ibadah utama penduduk sekitar, namun kini bangunan berusia hampir seabad itu terbiar usang dan hampir roboh dimamah usia.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bumbung zink masjid yang dibina sekitar 1930-an telah berlubang dan sebahagiannya tercabut, manakala mimbar runtuh serta lantai kayu semakin reput sehingga menjejaskan keseluruhan struktur bangunan.

Penduduk kampung, Abdul Majid Ismail, 88, berkata,rumah ibadat tersebut tidak lagi digunakan sekitar 1950-an selepas pembinaan masjid baharu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, masjid itu dibina secara gotong-royong menggunakan kayu yang diambil dari hutan dengan kereta kerbau tanpa menggunakan sebatang paku.

“Semua guna pasak kayu. Bumbungnya ada simbol bulan dan bintang, tiangnya tergantung seperti payung dan dipengaruhi seni bina Minangkabau. Ia mampu menampung kira-kira 100 jemaah serta mempunyai ukiran seperti sisik tenggiling.

“Dulu, pasukan komunis pernah mengganggu jemaah yang sedang solat dan kesan tembakan itu masih ada di bahagian kiri bumbung,” katanya ketika ditemui di Kampung Pelangai.

Menurut beliau, penduduk suatu ketika dahulu bergilir mengimarahkan masjid dan mereka yang tidak hadir tanpa alasan munasabah boleh dikenakan denda oleh jawatankuasa kampung.

Seorang lagi penduduk, Rahim, berkata, sekitar 2002 struktur bangunan masih dalam keadaan baik sebelum mengalami kerosakan serius akibat kebocoran bumbung dan serangan anai-anai.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip berkata, usaha pemuliharaan berdepan kekangan termasuk isu pemilikan dan ketiadaan pihak yang bersedia menjaga bangunan selepas dipulihara.

Katanya, masjid lama Kampung Pelangai telah dimasukkan dalam inventori bangunan bersejarah dan dokumentasi lengkap telah disediakan dengan kerjasama beberapa institusi awam bagi tujuan pembinaan semula pada masa hadapan.

Tambah beliau, setakat ini sebanyak 69 masjid dikenal pasti sebagai masjid warisan di Negeri Sembilan, manakala empat telah diwartakan sebagai bangunan warisan negara oleh Jabatan Warisan Negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini