PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dipercayai mengaku sebagai rasul ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Rawang, semalam.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tiga individu lain turut ditahan oleh pasukan khas dari Ibu Pejabat JAIS selepas siasatan berhubung satu aduan yang diterima pada 9 Februari lalu.
“Berdasarkan siasatan awal, individu berusia 65 tahun itu memberitahu pengikutnya bahawa beliau pernah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang, manakala Nabi Muhammad SAW dilihat dalam bentuk cahaya pada waktu malam.
“Beliau juga mendakwa sering bertemu dengan para Rasul dua hingga tiga kali seminggu, kejadian yang berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara di negara ini,” kata dalam kenyataan hari ini.
Tambah, Mohd. Shahzihan, pengikut lelaki terbabit mendakwa dia sebagai utusan Allah serta segala perlakuannya dianggap suruhan Allah, termasuk tidak perlu solat atau berpuasa jika berasa letih atau uzur.
Katanya, JAIS akan menjalankan siasatan dan tangkapan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Tindakan itu diambil kerana individu terbabit disyaki terlibat dalam suatu upacara atau perbuatan berkaitan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” katanya.
Menurutnya, turut ditahan di premis yang sama ialah seorang wanita bagi membantu siasatan.-UTUSAN











