GEORGE TOWN : Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kewujudan sebuah kilang pemprosesan plastik dan penyimpanan sisa elektronik (e-waste) tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Lelaki berusia 30-an itu ditahan dalam satu serbuan menerusi Op Hazard di Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 11 pagi itu, sejumlah e-waste yang dianggarkan bernilai RM3.37 juta turut dirampas.
Menurut Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner M. Balveer Singh, serbuan itu dijalankan hasil risikan berhubung sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik dan penyimpanan buangan terjadual tanpa kelulusan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, aktiviti yang dijalankan oleh premis berkenaan bagaimanapun tidak mendapat sebarang notifikasi atau kelulusan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Dalam serbuan itu, sejumlah besar sisa elektronik atau e-waste yang disimpan di dalam ‘jumbo bag’ selain tong dram yang mengandungi cecair minyak tercemar turut dijumpai dan dirampas.
“Berdasarkan siasatan awal, premis berkenaan yang mula beroperasi sejak tahun lepas telah dijadikan lokasi pemprosesan bahan plastik serta penyimpanan tambahan sisa elektronik tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Difahamkan, bekalan sisa plastik itu diperoleh daripada kilang-kilang semikonduktor di kawasan sekitar dan bahan plastik yang telah diproses itu kemudiannya dijadikan bijian plastik sebelum dieksport ke luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes tersebut kini diserahkan kepada JAS Pulau Pinang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.-UTUSAN











