Pendekkan tempoh latihan PPS

Pendekkan tempoh latihan PPS

ZAINAL ARIFFIN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh latihan program latihan siswazah perubatan perlu dipendekkan daripada dua tahun kepada setahun bagi mengatasi masalah kekurangan graduan menyertai sistem latihan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, struktur program latihan siswazah perubatan sedia ada juga perlu dikaji dan ditambah baik supaya lebih re­levan dengan keperluan semasa.

Katanya, cadangan penambahbaikan itu selari dengan amalan di negara lain selain mengambil kira peningkatan jumlah pakar dan hospital kepakaran yang kini berkeupayaan menyelia latihan dengan lebih baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan struktur latihan baharu yang dicadangkan, tahun pertama latihan akan me­libatkan penempatan di Jabatan Perubatan, Pembedahan serta Obstetrik dan Ginekologi.

“Bagi tahun kedua pula, graduan akan berperanan sebagai pegawai perubatan ju­nior dengan penempatan secara bergilir di Jabatan Pediatrik, Ortopedik dan Perubatan Kecemasan, manakala latihan lain seperti anestesia akan diserapkan dalam jadual berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 15 Februari lalu, akhbar ini melaporkan, kekurangan graduan yang menyertai program perubatan menimbul­kan isu ketidakseimbangan peng­agihan di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ia susulan pendedahan KKM bahawa penurunan pengisian slot pegawai perubatan siswazah (PPS) turut memberi impak langsung kepada keupayaan sistem untuk membekalkan tenaga kerja yang mencukupi.

Meskipun semua 579 graduan yang memohon telah dilantik, jumlah itu hanya mengisi sekitar 10 peratus daripada kekosongan slot nasional.

Sehingga Februari 2026, trend nasional bagi kadar pengisian di 48 Hospital Latihan Siswazah (HLS) seluruh negara kini ber­ada pada tahap 53 peratus iaitu 6,500 slot terisi daripada 12,198 kapasiti.

Dr. Zainal Ariffin berkata, situasi tersebut turut mencetuskan kesan berantai kepada pengisian jawatan di fasiliti ke­sihatan awam serta pengeluaran pakar.

Katanya, ini kerana daripada kira-kira 2,000 tawaran latihan kepakaran setiap tahun, sebahagiannya tidak dapat dipenuhi kerana kekurangan pegawai perubatan untuk dilatih.

“Secara relatifnya, isu utama bukan lebihan graduan perubatan, sebaliknya kekurangan graduan yang memasuki sistem latihan KKM berbanding kapasiti latihan yang tersedia.

“Berdasarkan perkembangan semasa, isu kekurangan doktor merupakan masalah kompleks yang berpunca daripada pelbagai faktor dan bukan semata-mata disebabkan jumlah gra­duan.

“Negara sebenarnya mempunyai kapasiti latihan siswazah, namun kapasiti tersebut tidak diisi sepenuhnya oleh graduan perubatan yang ada,” katanya.

Menurut beliau, KKM juga sedang menjalankan usaha untuk beralih kepada pendekatan pendidikan perubatan berasaskan kompetensi bagi memastikan pegawai perubatan dilatih berdasarkan penguasaan kemahiran yang diperlukan dan tidak bergantung kepada tempoh latihan semata-mata.

Katanya, pada masa sama, penamatan sistem doktor kontrak secara berfasa turut dirancang oleh KKM sebagai langkah mewujudkan kestabilan kerjaya serta memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan awam.

“Bagi menangani ketidakseimbangan tenaga kerja, mandat mobilisasi dan pengagihan semula pegawai turut diperkenalkan khususnya bagi memastikan fasiliti kesihatan yang menanggung beban perkhidmatan tinggi mempunyai tenaga kerja mencukupi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini