Jangan percaya sangat petua di media sosial rawat Covid-19 - Utusan Malaysia

Jangan percaya sangat petua di media sosial rawat Covid-19

NOR Shahidatul Akma Mohd. Noh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas pesakit Covid-19 menyeru masyarakat jangan percaya petua di media sosial yang belum terbukti secara klinikal dalam mencegah pandemik itu.

Nor Shahidatul Akma Mohd. Noh, 32, berkata, masyarakat perlu yakin kaedah perubatan yang disarankan pakar kesihatan seperti pengambilan vaksin.

Katanya, dia terpanggil untuk menyuarakan perkara itu kerana pernah mencuba beberapa amalan yang dicadangkan namun terbukti tidak berkesan apabila dia dan empat ahli keluarganya dijangkiti Covid-19.

“Macam-macam kita dengar dan baca di media sosial. Ada yang cakap makan ketam, makan cengkih dan juga minum air ketum boleh membantu mencegah jangkitan Covid-19 tetapi sebenarnya ia tidak tepat.

“Tidak salah untuk kita berikhtiar tetapi amat perlu untuk mendapatkan maklumat tepat yang terbukti berkesan dalam melawan pandemik ini seperti mendapatkan suntikan vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Nor Shahidatul berkata, dijangkiti wabak berkenaan bukan perkara yang ringan kerana selain membawa maut, ia juga meninggalkan kesan jangka masa panjang kepada kesihatan fizikal.

“Saya dan keluarga dijangkiti Covid-19 secara berperingkat bermula daripada ayah, Mohd. Noh Suradi, 69, yang meninggal dunia pada 16 Mei lalu sehingga ke adik bongsu yang berusia 16 tahun turut dijangkiti.

“Menurut petugas kesihatan, kategori simptom yang kami alami adalah berbeza-beza. Saya contohnya dalam kategori dua iaitu simptom ringan tetapi setelah dibenarkan pulang, simptom yang saya alami bertambah teruk, menyebabkan saya dimasukkan ke hospital sekali lagi pada 25 Mei selepas kali pertama pada 9 Mei,” tambahnya

Menurutnya, sepanjang tempoh dijangkiti juga, kesakitan dialaminya sangat ekstrem kerana berlaku secara berterusan seperti demam, sakit perut, hilang selera makan, muntah, sakit badan atau lenguh dan sakit dada.

“Walaupun sudah baik, keadaan fizikal saya tetap belum sihat sepenuhnya sehingga kini kerana kadang kala cepat sesak nafas, pening kepala dan kurang bertenaga malah masih dinasihatkan oleh doktor untuk menjalani rawatan susulan pemeriksaan badan selama enam bulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×