MARANG: Fokus utama Pas ketika ini adalah menyelamatkan Perikatan Nasional (PN) yang tidak stabil ekoran belum menyelesaikan isu pelantikan Pengerusi baharu dan konflik dalaman yang melanda komponen gabungan itu iaitu Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan menyelamatkan PN adalah penting jika mahu mengambil alih pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 kerana misi itu mesti melibatkan semua pihak.
Kata beliau, perkara-perkara lain seperti penyertaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu ke dalam parti politik lain atau ‘rumah baharu’ belum dibincangkan dan terserah kepada Ahli Parlimen Larut itu.
“Itu terpulang kepada dia (Hamzah). Yang penting kita hendak menyelamatkan PN dahulu kerana Pas berpendapat kita hendak memerintah negara mesti melibatkan semua pihak,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pas sudah mempunyai calon untuk mengisi jawatan Pengerusi PN dan keputusan muktamad ditentukan dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi gabungan itu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu kekal mahu menerajui PN dan akan mengumumkan calon pengerusi gabungan tersebut Ahad ini, menerusi Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN.
Beliau berkata, perkara tersebut dipersetujui oleh parti komponen dalam PN.
Hari ini, akhbar ini melaporkan, Hamzah bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu akan menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ pada minggu depan selepas dipecat daripada Bersatu.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut tersebut.
Sebelum ini, Hamzah sewaktu Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik pada 14 Februari lalu tidak menolak tiga kemungkinan hala tuju politiknya selepas dipecat serta-merta oleh Bersatu kerana melanggar perlembagaan parti.
Tiga hala tuju itu adalah mengambil alih Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), kembali ke pangkuan UMNO atau menyertai parti sekutu di dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas. – UTUSAN










