ALLAH SWT berfirman dalam ayat 13, Surah Al-Hujurat, bahawa Allah telah menjadikan manusia pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kita berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain.
Ternyata, dunia yang begitu luas ini didiami manusia daripada pelbagai suku kaum. Mereka hidup bercampur gaul, terutamanya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Namun, menjadi sebahagian daripada fitrah manusia untuk merasa bangga dengan suku sendiri, sambil menghormati dan meraikan kepelbagaian suku lain.
Kepelbagaian ini juga kadangkala tidak hanya terhad kepada skala masyarakat tetapi boleh berlaku pada peringkat individu. Walaupun saya berketurunan Melayu tetapi tetap bangga dengan darah keturunan Cina yang ‘mengalir’ dalam diri.
Keunikan ini merapatkan silaturahim setiap kali menyertai persidangan di luar negara dan bertemu perwakilan berketurunan Cina dari serata dunia. Meskipun tidak boleh berbahasa Cina, namun mereka masih menerima saya sebagai saudara sebangsa.
Di Frankfurt baru-baru ini sebagai contoh, terdapat beberapa daripada perwakilan yang berketurunan Cina, termasuklah rakan saya Curtis Lui dari Hong Kong.
Bagi majlis antarabangsa yang dihadiri perwakilan daripada pelbagai latar belakang, pihak penganjur perlu mengambil kira keperluan semua yang hadir. Sebagai contoh, untuk menghormati dan meraikan setiap perwakilan, hanya hidangan berasaskan sayur atau tumbuhan disediakan bagi memudahkan mereka yang beragama Islam, Hindu serta individu lain yang mengamalkan diet khusus.
Membesar dalam masyarakat majmuk dan terbiasa dengan pelbagai budaya makanan menyebabkan saya sudah biasa mencuba pelbagai jenis hidangan, termasuk makanan berasaskan sayur atau tumbuhan. Namun, bagi mereka yang kurang biasa, sudah tentu merindui makanan yang biasa dijamah di tempat sendiri.
Untuk mengubat kerinduan, perwakilan daripada Asia timur dan tenggara memutuskan untuk mengadakan mesyuarat yang perlu kami adakan di sebuah restoran makanan Asia sambil makan malam. Tambahan pula, beberapa orang daripada kami sudah rindu untuk memakan daging.
Walaupun saya adalah satu-satunya wakil yang beragama Islam dalam kumpulan kami, namun kesemua mereka tekad mencari kedai yang menghidang daging halal agar saya dapat bersama-sama menikmatinya.
Akhirnya kami menemui sebuah restoran halal yang menghidangkan makanan Xinjiang, iaitu daerah di China yang mempunyai ramai penduduk Islam. Sambil menikmati kelazatan makanan yang dihidangkan, kami disapa oleh pemilik restoran tersebut.
Apabila mendengar Curtis bercakap dalam bahasa Mandarin, dia terus bertanya tentang negara asal kami. Dia kelihatan teruja apabila mengetahui Curtis berasal dari Hong Kong, dan seterusnya bertanya tentang latar belakang saya setelah Curtis memberitahunya bahawa saya juga mempunyai darah Cina.
Melalui terjemahan Curtis, saya menceritakan bahawa buyut (bapa kepada moyang), Abdullah Sulaiman Al-Yunani, pernah berlayar dari Guangdong ke Kesultanan Terengganu pada abad ke-19.
Di Kuala Terengganu, dia memulakan perniagaan dengan menterjemahkan buku agama ke dalam tulisan Jawi dan menjualnya kepada orang tempatan.
Walaupun tetap berbangga dengan warisan Cina, namun buyut saya bertekad mengasimilasi diri ke dalam masyarakat Melayu dan mengamalkan budaya Cina dalam konteks tempatan. Contohnya, semasa perayaan, dia memakai baju Melayu tetapi tetap berwarna merah bagi mengekalkan semangat ‘ong’.
Pemilik restoran itu begitu tersentuh apabila mendengar cerita ini kerana dia juga pernah terbang ke Frankfurt untuk mencari rezeki 14 tahun lalu, sama seperti nenek moyang saya yang berlayar ke Terengganu hampir 200 tahun dahulu.
Pemilik restoran itu lebih teruja apabila saya memberitahu bahawa kami masih mengekalkan nama keluarga, ‘Tung’ dan saya sendiri terus meraikan nama Cina saya, Tung Ah Mo, walaupun tidak tercatat dalam kad pengenalan.
Bagi beliau, identiti Cina tidak ditentukan oleh bahasa tetapi semangat keturunan yang dihayati.
Begitu juga saya yang walaupun tidak mengamalkan budaya itu sepenuhnya dan tidak fasih berbahasa Cina, namun tidak pernah melupakan asal usul.
Orang Cina mempunyai pelbagai suku kaum dan agama, tetapi perbezaan itu tidak memisahkan sebaliknya menyatukan kami. Dua tahun lalu, ketika berada di Poland, saya bertemu seorang perwakilan berbangsa Cina dari Taiwan.
Setelah mengetahui saya berdarah Cina dan berasal dari Malaysia, dia dengan bangganya bercakap dalam bahasa Melayu. Bagi kami, kemampuan untuk bercakap satu bahasa yang sama cukup untuk merapatkan persaudaraan, walaupun bahasa itu bukan bahasa Cina. Apa yang menyatukan kami ialah semangat persaudaraan dan daripada semangat itu, kami mencari titik persamaan yang boleh diraikan bersama.

RAIKAN PERBEZAAN
Di sini jelas kepentingan mencari persamaan sambil meraikan kepelbagaian, bukannya menggunakan perbezaan untuk bertelingkah atau mendabik dada. Prinsip ini amat penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Sejak dahulu lagi, rakyat Malaysia hidup harmoni dengan meraikan kepelbagaian kaum. Kita bukan sahaja terbuka untuk bersama-sama meraikan hari kebesaran masing-masing, malah keterangkuman itu tersemat dalam kenegaraan Malaysia.
Kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 1955 terdiri daripada 40 peratus ahli berbangsa Cina dan India, manakala 33 peratus ahli Majlis Perundangan (kini Dewan Rakyat) juga berasal dari golongan minoriti tersebut.
Jika dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) hanya membenarkan orang berkulit hitam mengundi pada 1965, iaitu 10 tahun selepas orang Cina dan India sudah menjadi menteri di Malaysia.
Ini menunjukkan kematangan sosial negara kita berbanding banyak negara lain yang masih terperangkap dalam pertelingkahan.
Selamat Tahun Baharu, khususnya kepada seluruh masyarakat Cina. Semoga tahun ini membawa lebih banyak keberkatan, keuntungan dan kemakmuran kepada kita semua.. -UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










