KUANTAN: Semalam sepatutnya menjadi hari gembira buat adik Sumayah berusia tiga tahun, namun sebaliknya jenazahnya dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, pada sambutan hari kelahirannya.
Sumayah yang dilahirkan pada 18 Februari 2024 antara empat mangsa pembunuhan kejam bapa sendiri selain ibunya, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33; kakaknya, Nur Saffiyah Humairah, 4, dan neneknya, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56.
Dalam kejadian di Taman Cherating Damai, di sini, kira-kira pukul 7 pagi kelmarin, suspek yang berusia 32 tahun turut maut selepas dipercayai bertindak menikam diri sendiri.
Mayat kanak-kanak malang itu bersama dua lagi mangsa iaitu kakak dan neneknya dibedah siasat semalam manakala mayat ibu dan bapa mereka telah selesai kelmarin.
Semua mangsa dijangka dikebumikan di Tamah Perkuburan Cerating, di sini selepas proses bedah siasat selesai.
Dalam kejadian itu, lima sekeluarga ditemukan mati di dalam sebuah rumah di Taman Cerating Damai dengan kesan tikaman dan kelar.
Suspek berusia 32 tahun dipercayai bertindak membunuh isteri dan dua anak kecilnya serta ibu kandung sebelum membunuh diri.
Bagaimanapun adik bongsu suspek berusia 15 tahun yang turut berada di rumah berkenaan ketika kejadian terselamat dan tidak dicederakan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, dalam keadaan berlumuran darah, Tuan Kamaria sempat meminta anak bongsunya berusia 15 tahun keluar mendapatkan bantuan sebelum dia ditemukan tidak bernyawa di ruang dapur rumah tersebut.
Beliau berkata, keterangan awal daripada saksi tempat kejadian iaitu remaja lelaki berkenaan mengatakan, dia mendengar bunyi bising pertengkaran kira-kira pukul 7 pagi, hari kejadian.
“Apabila dia keluar bilik, didapati pintu dan dinding bilik tidur utama diduduki suspek ada kesan percikan darah. Ketika dia menoleh ke arah dapur mendapati Tuan Kamaria dalam berlumuran darah.
“Wanita itu menjerit kepadanya meminta dia keluar mendapatkan bantuan bapa saudaranya di kawasan perumahaan sama,” katanya.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati, suspek menikam isterinya terlebih dahulu dan kemudian menikam ibunya disusuli mengelar kedua-dua anak perempuan sebelum membunuh diri sendiri di leher.
“Motif awal kejadian dipercayai berpunca daripada masalah kewangan dan suspek disyaki mengalami masalah tekanan mental,” katanya.
Katanya, kenyataan itu disokong oleh saksi terhadap tingkah laku suspek yang pelik sejak berpindah ke negeri ini.
“Suspek dan keluarganya sebelum ini menetap di Kapar, Klang, Selangor dan semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod rawatan mental atau kesalahan lampau,” katanya.-UTUSAN










