PETALING JAYA: Aksi Liga Super antara Selangor dan Kuching City pada Ahad ini bakal menjadi medan penentu serta peluang buat kedua-dua pasukan melebarkan jurang mata bagi merebut kedudukan kedua Liga musim ini.
Namun, kedua-dua pasukan itu tidak boleh menafikan cabaran Kuala Lumpur (KL) City FC yang juga mempunyai peluang cerah untuk merebut kedudukan kedua itu apabila bakal turun berdepan DPMM FC.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan saingan memburu tangga naib juara Liga Super Malaysia kini semakin hangat, dengan ketiga-tiga pasukan memiliki peluang seimbang.
Katanya, fokus kini bukan lagi soal kejuaraan, sebaliknya perebutan tempat kedua yang dianggap lebih realistik dalam landskap semasa bola sepak tempatan.
“Sekarang ini kita bercakap mengenai siapa naib juara. Persaingan tiga pasukan ini sangat sihat dan masing-masing tidak boleh tercicir mata, termasuk ketika menentang pasukan bawahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas pemain Selangor itu melihat skuad Gergasi Merah berada pada tahap terbaik musim ini, terutama selepas kehadiran pengendali baharu, Kim Pan Gon.
Katanya, peningkatan keyakinan pemain seperti Moraes dan Faisal Halim menjadi tonik penting kepada kebangkitan pasukan itu.
“Selangor sekarang di tahap kemuncak. Keyakinan pemain semakin tinggi, pertahanan makin mantap dan mereka bebas kecederaan. Itu petanda kecergasan berada di tahap optimum.
“Pertemuan dengan Kuching City nanti akan jadi ujian sebenar. Jika mahu membuktikan mereka sudah benar-benar berubah, inilah masanya,” jelasnya.
Bagaimanapun, Azlan mengingatkan bahawa Kuching City memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, selain menampilkan keserasian berpasukan yang baik sepanjang musim ini.
“Kerjasama dan persefahaman mereka jelas terserlah. Selangor tak boleh leka walau sedikit,” katanya.
Dalam pada itu, Azlan tidak menolak kemungkinan Kuala Lumpur City muncul ‘pemintas’ dalam perebutan tempat kedua.
“Kita tengok ketika lawan Terengganu, mereka terus mencabar hingga minit terakhir. Pasukan yang bermain sampai saat akhir seperti ini sangat berbahaya,” ujarnya. – UTUSAN










