Bursa Malaysia tumpu IPO berskala besar

Bursa Malaysia tumpu IPO berskala besar

PADA 5 petang semalam, FBM KLCI ditutup tinggi 1.40 mata kepada 1,711.39 berbanding 1,709.99 pada sesi dagangan akhir Selasa lalu. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia kini mengalihkan strategi tawaran awam permulaan (IPO) ke arah penyenaraian berskala besar dan berkualiti, dengan memberi tumpuan kepada saiz urus niaga serta kebolehlaburan berbanding mengejar jumlah penyenaraian semata-mata.

BIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, pengendali pasaran saham tempatan itu menetapkan sasaran permodalan pasaran IPO keseluruhan sebanyak RM28 bilion bagi tahun ini.

Katanya, ini sekali gus menunjukkan fokus yang lebih agresif untuk menarik minat pelabur institusi tempatan dan asing.

“Bursa Malaysia menyasarkan jumlah permodalan pasaran IPO sebanyak RM28 bilion, dengan penekanan jelas terhadap penyenaraian Pasaran Utama bernilai RM1 bilion dan ke atas bagi memenuhi ambang pelabur institusi asing.

“Tumpuan sektor dijangka berpusat pada teknologi, di samping minat berterusan dalam sektor pengguna dan perkhidmatan industri,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma pembrokeran itu berkata, setakat ini, terdapat enam IPO pada Januari 2026 dan beberapa IPO akan datang yang menarik minat pelabur yang tinggi, antaranya Sunway Healthcare, SkyeChip dan MTT Shipping & Logistics.

Sementara itu, Bursa Malaysia turut mengambil langkah aktif untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pasaran modal dengan menandatangani memorandum kerjasama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) pada Februari 2026 lalu.

“Kerjasama ini bertujuan mengenal pasti syarikat bumiputera berpotensi tinggi serta membimbing mereka melalui program kesediaan IPO bagi memenuhi syarat penyenaraian. Contoh terbaharu ialah acara XCELERATE IPO Synergy yang diadakan pada 11 Februari,” ujarnya.

BIMB Securites mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM9.15 sesaham terhadap Bursa Malaysia. 

“Harga sasaran kami adalah berdasarkan gandaan 21.3 kali nisbah harga kepada aliran tunai bebas (P/FCF) bagi tahun kewangan 2026, selaras dengan purata sejarah jangka panjang Bursa Malaysia.

“Nisbah risiko ganjaran berada pada tahap neutral dan potensi kenaikan adalah terhad kepada satu peratus, dengan hasil dividen sekitar empat peratus. Sehubungan itu, kami mengesyorkan ‘pegang’ bagi tujuan pendapatan dividen,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×