AMMAN: Kebimbangan semakin memuncak di Jordan susulan langkah Israel mendaftarkan sebahagian Tebing Barat yang diduduki sebagai ‘tanah negara’ di bawah Kementerian Kehakiman Israel.
Bagi banyak pihak, tindakan itu bukan sekadar pengambilalihan birokratik, tetapi isyarat kepada kemungkinan ‘pemindahan senyap’ yang bakal menimpa Jordan.
Selama beberapa dekad, konsep ‘tanah air alternatif’, idea Jordan sepatutnya menjadi negara Palestin, diketepikan oleh diplomat di Amman sebagai mimpi ngeri atau teori konspirasi.
Namun kini, di bawah bayangan kerajaan Israel yang berhaluan kanan dan perang genosid dahsyat di Gaza, mimpi ngeri itu mula menjadi realiti.
Langkah Kabinet Israel yang digambarkan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, sebagai ‘revolusi penempatan’, memintas pentadbiran tentera sejak 1967 dan menganggapnya sebagai tanah berdaulat Israel.
Dengan operasi ‘Tembok Besi’ tentera Israel yang menghancurkan kem pelarian di Jenin dan Tulkarm, kerajaan Jordan kini menumpukan perhatian bukan lagi kepada kemungkinan pemindahan paksa, tetapi cara menghentikannya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Jordan, Mamdouh al-Abbadi berkata, pemindahan itu bukan lagi ancaman, sebaliknya langkah yang sedang dilaksanakan.
“Kita sedang melihatnya secara praktikal. Tanah air alternatif akan datang; selepas Tebing Barat, musuh akan bergerak ke Tebing Timur dan ke Jordan,” katanya kepada Al Jazeera.
Kebimbangan di Amman bukan sahaja mengenai pencerobohan tentera, tetapi juga berkaitan ‘operasi pemindahan secara halus’, menjadikan kehidupan di Tebing Barat tidak mampu didiami bagi memaksa penghijrahan secara berperingkat ke Jordan.
Keputusan pada Ahad untuk memindahkan kuasa pendaftaran tanah kepada Kementerian Kehakiman Israel dilihat di Jordan sebagai langkah penting dalam proses tersebut.
Dengan memadamkan daftar tanah Jordan dan Uthmaniyah yang melindungi hak milik rakyat Palestin selama satu abad, Israel kini membuka jalan undang-undang untuk perluasan penempatan secara besar-besaran.
Mamdouh menekankan perubahan simbolik tetapi berbahaya dalam tatanama tentera Israel.
“Terdapat briged baharu dalam tentera Israel, dinamakan Briged Gilead. Apa itu Gilead? Gilead ialah kawasan pegunungan berhampiran Amman.
“Ini bermakna Israel sedang melaksanakan amalan strategik mereka dari Nil ke Efrat,” katanya.
Beliau berkata, Perjanjian Wadi Araba 1994 kini seolah-olah tiada nilai di mata kepimpinan Israel.
“Ideologi Smotrich bukan pandangan seorang individu sahaja, ia menjadi doktrin negara. Mereka yang membunuh Perjanjian Wadi Araba sebelum ia lahir, jika tidak sedar, strateginya akan menjadi sama ada kita atau mereka. Tiada pilihan ketiga,” katanya.









