Ringgit berpotensi cecah RM3.70 dalam masa terdekat

Ringgit berpotensi cecah RM3.70 dalam masa terdekat

PADA pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup rendah pada 3.9670/3.9730 berbanding 3.9380/3.9480 pada sesi dagangan akhir Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit berpotensi mengukuh sehingga mencecah paras RM3.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat, setelah melepasi paras psikologi RM3.89 semalam, susulan pencapaian pertumbuhan ekonomi suku keempat 2025 yang lebih tinggi dari jangkaan pada 6.3 peratus minggu lalu.

Pada 5 petang semalam, ringgit ditutup tinggi pada 3.8970/3.9020 berbanding 3.9010/3.9070 pada sesi dagangan akhir Jumaat lalu.

Mata wang negara dibuka kukuh pada 3.8970/9190. Kali terakhir ringgit mencapai 3.89 adalah pada  23 April 2018.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, sasaran RM3.70 tersebut adalah realistik dan berkemungkinan besar dapat dicapai sekiranya momentum semasa serta faktor sokongan luaran terus memihak kepada mata wang tempatan.

“Berdasarkan unjuran beberapa penyedia analisis antarabangsa, ringgit dijangka bergerak dalam julat lebih kukuh berbanding paras tersebut,” katanya Utusan Malaysia. 

Menurut Barjoyai, model ramalan MidForex mengunjurkan ringgit berada antara RM3.46 hingga RM3.56 pada 2026, iaitu lebih kukuh daripada RM3.70. 

Katanya, LongForecast pula menjangkakan julat RM3.52 hingga RM3.63, konsisten di bawah paras RM3.70. 

“Secara keseluruhan, hampir semua ramalan profesional melihat ringgit bergerak dalam lingkungan RM3.60 hingga RM3.75 pada 2026. 

“Justeru, sasaran RM3.70 bukan sahaja realistik, malah berkemungkinan besar dicapai dalam beberapa bulan akan datang sekiranya momentum pengukuhan berterusan,” katanya.

Beliau berkata, pengukuhan selanjutnya bergantung kepada beberapa faktor utama termasuk dasar monetari global, trajektori kadar faedah AS, aliran masuk modal asing serta prestasi ekonomi domestik.

Barjoyai berkata, pengukuhan ringgit membawa kesan bercampur kepada ekonomi negara.

“Dari sudut positif, mata wang yang lebih kukuh membantu mengurangkan kos import, khususnya bagi barangan makanan, bahan mentah dan komponen industri. Ini secara tidak langsung boleh meredakan tekanan inflasi dan meningkatkan kuasa beli pengguna. 

“Namun begitu, ringgit yang terlalu kukuh dalam tempoh singkat berpotensi menjejaskan daya saing eksport Malaysia,” katanya. 

Selain itu, jelasnya, sektor pembuatan, elektrik dan elektronik serta komoditi mungkin terkesan sekiranya harga barangan menjadi kurang kompetitif di pasaran antarabangsa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr . Mohd. Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, ringgit dijangka berpotensi mengukuh sehingga mencecah paras RM3.70 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, susulan jangkaan perubahan dasar monetari global dan perkembangan ekonomi semasa.

“Pada paras RM3.70, kesannya mungkin kurang memihak kepada pengeksport sekiranya ia dicapai dalam kadar segera. 

“Sebaiknya pengukuhan berlaku secara sederhana dan berperingkat agar sektor perniagaan mempunyai ruang untuk menyesuaikan kos dan strategi harga. 

“Dari sudut teknikal, paras sokongan semasa dikenal pasti pada RM3.8722. Sekiranya paras ini berjaya ditembusi, paras sokongan seterusnya dilihat pada sekitar RM3.6519, sekali gus membuka ruang kepada pengukuhan yang lebih ketara,” katanya.

Mohd. Afzanizam berkata, data inflasi terkini dari AS yang diumumkan pada Jumaat lalu menunjukkan kadar inflasi negara tersebut terus menyusut. 

“Perkembangan itu menguatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mula mengurangkan kadar faedah pada separuh kedua 2026.

“Langkah pelonggaran dasar monetari di AS berpotensi mengurangkan daya tarikan dolar AS dan seterusnya memberi sokongan tambahan kepada ringgit untuk terus mengukuh dalam tempoh sederhana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×