KEBERKESANAN pengurusan tertinggi kerajaan tidak lagi hanya diukur melalui pencapaian projek pembangunan dan peruntukan bajet semata-mata. Budaya kerja, integriti, ketelusan, serta keupayaan membuat keputusan yang berpandangan jauh kini menjadi penanda aras utama kejayaan perkhidmatan awam.
Di sinilah peranan DEEP (Demerit Performance Evaluation) menjadi amat penting, bukan hanya sebagai sistem penilaian prestasi, tetapi sebagai mekanisme strategik yang memastikan setiap kementerian dan jabatan bergerak selaras dengan aspirasi reformasi kerajaan demi kepentingan rakyat.
DEEP diperkenalkan sebagai penilaian yang objektif dan berasaskan data. Ia menekankan bukan sekadar pencapaian kuantitatif projek atau peruntukan, tetapi juga kualiti pengurusan, disiplin tadbir urus, dan tahap integriti yang diamalkan oleh pegawai pengurusan tertinggi kerajaan, termasuk Ketua Setiausaha (KSU) dan ketua jabatan.
Sistem ini menyediakan gambaran menyeluruh tentang prestasi kementerian dan pegawai tertinggi, memberi asas bagi tindakan pembetulan, pemulihan dan penambahbaikan secara berterusan.

Bukan Menghukum
Satu salah tanggapan yang sering timbul adalah bahawa DEEP dicipta untuk menghukum KSU atau ketua jabatan yang gagal mencapai sasaran tertentu. Hakikatnya, DEEP bukan alat hukuman, tetapi instrumen yang bersifat membimbing dan memperbaiki.
Markah demerit yang diberikan hanyalah cerminan ketidakcapaian sasaran yang telah ditetapkan, manakala markah remerit pula diberikan bagi penambahbaikan, kepatuhan kepada tatakelola, dan perkara di luar kawalan KSU.
Dengan ini, DEEP bukan sekadar mencatat kelemahan, tetapi juga memberi pengiktirafan kepada usaha positif yang telah dilakukan.
Sistem DEEP membantu KSU dan kementerian mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka secara tepat. Ia memberi peluang kepada pimpinan untuk merancang tindakan pemulihan awal sebelum isu menjadi lebih besar, sekaligus memastikan integriti dan ketelusan dalam setiap proses keputusan.
Dengan kata lain, DEEP berperanan sebagai mekanisme pemantauan berterusan yang menjaga sistem perkhidmatan awam daripada risiko ketidakpatuhan, salah tadbir, atau kelewatan pelaksanaan program.
Skop Penilaian
DEEP tidak terhad kepada penilaian projek atau bajet sahaja. Instrumen ini menilai pelbagai dimensi pengurusan, termasuk:
Pengurusan kewangan: Memastikan peruntukan digunakan dengan cekap dan berkesan.
Pengurusan projek pembangunan: Memantau pelaksanaan projek agar mengikut jadual, bajet dan kualiti yang ditetapkan.
Integriti: Menilai sejauh mana prinsip integriti dan ketelusan diterapkan dalam membuat keputusan dan pengurusan sumber.
Pelaksanaan program kementerian: Memastikan program dan inisiatif dilaksanakan mengikut perancangan dan memberi impak kepada rakyat.
Kepimpinan: Menilai kemampuan KSU dan ketua jabatan memimpin pasukan, membuat keputusan strategik, serta mengekalkan budaya kerja yang cemerlang.
Penilaian DEEP pada 2025 terhadap 27 KSU kementerian telah menunjukkan kesan yang signifikan, walaupun pelaksanaannya baru setahun. Antara kesan positifnya ialah pematuhan prosedur yang lebih konsisten, ketelusan peruntukan yang meningkat, dan kesedaran integriti yang lebih tinggi dalam kalangan pimpinan.
Kesan DEEP
Walaupun penilaian penuh terhadap ketua jabatan hanya akan dilaksanakan mulai suku kedua 2026, penilaian awal terhadap KSU membuktikan DEEP telah mula memberi impak positif seawal suku kedua 2025. Antaranya:
• Pelaksanaan projek dan pengurusan peruntukan menjadi lebih telus dan berdisiplin, selaras dengan indikator perbelanjaan mengurus (OE) dan perbelanjaan pembangunan (DE). KSU dan kementerian kini lebih proaktif memantau perbelanjaan sebenar berbanding unjuran, sekali gus mengurangkan risiko ketidakpatuhan, salah urus serta memastikan pelaporan kewangan yang lebih tepat dan bertanggungjawab.
• Kepimpinan tertinggi kementerian mengamalkan budaya kerja yang lebih terancang, berfokuskan hasil dan berasaskan data. Penilaian merangkumi aspek pengurusan kewangan, kesiapsiagaan dan pelaksanaan projek (projek pra-pelaksanaan, projek lewat jadual dan projek sakit), tatakelola dan integriti (pelaporan tindakan kes salah laku), pengurusan sumber manusia (pusingan kerja), serta keberhasilan strategik kementerian melalui program utama berimpak tinggi kepada rakyat. Dimensi prestasi ini diperkukuh dengan maklum balas awam melalui soal selidik yang memberi perspektif luaran terhadap keberkesanan kepimpinan.
• Markah remerit bagi indikator-indikator tertentu, termasuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan, pengurusan projek, serta program utama kementerian, khususnya bagi faktor-faktor yang berada di luar kawalan langsung KSU. Pendekatan ini memastikan usaha mitigasi risiko dan amalan pengurusan baik diiktiraf secara adil, sekali gus menggalakkan budaya kerja yang berintegriti, bertanggungjawab dan berorientasikan penambahbaikan berterusan.
Dapatan ini mengesahkan bahawa DEEP bukan sekadar sistem penilaian prestasi, tetapi instrumen transformasi tadbir urus yang menyokong pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) secara lebih berstruktur dan berimpak.
Mengubah Naratif
Persoalan sebenar ialah sama ada perkhidmatan awam bersedia dinilai secara jujur demi penambahbaikan bersama. Keberanian mengenal pasti kelemahan dan membetulkannya lebih awal adalah tanda kematangan institusi.
DEEP memastikan pegawai pengurusan tertinggi dan kementerian bergerak selaras dengan aspirasi reformasi, sambil menjaga kebajikan pegawai dan mengekalkan integriti sistem.
DEEP juga menekankan prinsip pencegahan berbanding hukuman. Dengan penekanan pada tindakan pemulihan awal, markah demerit bukanlah ancaman, tetapi peringatan bahawa terdapat ruang untuk memperbaiki proses dan keputusan.
Markah remerit mendorong pengiktirafan dan motivasi, memastikan budaya kerja yang berasaskan prestasi, integriti dan tanggungjawab.
DEEP lebih daripada sekadar sistem penilaian prestasi. Ia adalah mekanisme strategik, alat perancangan, dan panduan bagi KSU serta kementerian untuk memastikan perkhidmatan awam kekal cemerlang, berintegriti dan relevan kepada rakyat.
Dengan sokongan data yang tepat, pemantauan berdisiplin, dan pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang, DEEP membolehkan kerajaan mempercepat pelaksanaan program, memperhebat reformasi dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
Selaras dengan amanat Ketua Setiausaha Negara, setiap tindakan dan keputusan dalam perkhidmatan awam kini diiringi dengan pemantauan berterusan, penyempurnaan konsisten dan penekanan pada hasil nyata.
Hanya dengan pendekatan ini, DEEP dapat memastikan bahawa perkhidmatan awam bukan sahaja memenuhi sasaran, tetapi memberi impak sebenar dan berpanjangan kepada kesejahteraan rakyat. – UTUSAN
TAN Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).










