Malaysia hab pusat data Asia

Malaysia hab pusat data Asia: Peluang besar atau hanya transit pelaburan?

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA semakin menonjol sebagai destinasi utama pembangunan pusat data di Asia Tenggara, disokong peningkatan permintaan global terhadap perkhidmatan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) serta pendigitalan perniagaan.

Kemasukan pelabur utama, termasuk projek pusat data Google di Selangor dan pertumbuhan pesat pembangunan di Johor mengukuhkan potensi negara untuk muncul sebagai hab pusat data serantau.

Bagaimanapun, di sebalik perkembangan agresif itu, timbul persoalan sama ada Malaysia benar-benar berada pada landasan untuk menerajui industri pusat data Asia atau sekadar menjadi lokasi alternatif kos rendah kepada pemain asing.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, persoalan itu realistik namun memerlukan penilaian yang lebih kritikal. 

“Dari sudut kelebihan daya saing, Malaysia memiliki beberapa kelebihan jelas, termasuk infrastruktur telekomunikasi yang semakin matang, sumber tenaga yang agak kompetitif serta bakat digital yang sedang berkembang. 

“Berbanding negara serantau lain seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, Malaysia mempunyai kelebihan kos dan ketersediaan ruang fizikal. Singapura misalnya semakin mengehadkan pembangunan pusat data baharu akibat kekangan tenaga dan ruang. 

“Situasi ini membuka peluang besar kepada Malaysia, khususnya Johor dan Selangor, untuk menyerap permintaan tersebut. 

“Namun begitu, untuk benar-benar menjadi hab utama, Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada kelebihan kos,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, negara perlu memperkukuh rantaian nilai melalui pembangunan bakat berkemahiran tinggi, dasar perlindungan data yang kukuh, keselamatan siber bertaraf antarabangsa serta integrasi tenaga hijau. 

“Tanpa elemen-elemen ini, Malaysia berisiko sekadar menjadi lokasi hos dan bukannya pemain strategik dalam ekonomi data global,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemasukan pemain global seperti Google, Microsoft, Amazon Web Services (AWS) dan beberapa operator pusat data antarabangsa merupakan indikator jelas bahawa Malaysia kini berada dalam radar pelaburan teknologi global. 

laburan sebesar ini tidak dibuat secara spekulatif, sebaliknya berdasarkan analisis mendalam terhadap kestabilan dasar, potensi pasaran dan keupayaan infrastruktur negara. 

“Projek di Ainsdale, Sela­ngor serta pembangunan berskala besar di Johor mencerminkan keyakinan bahawa Malaysia mampu menyediakan persekitaran operasi jangka panjang yang kondusif. 

“Johor khususnya mendapat manfaat daripada kedudukan strategiknya yang berhampiran Singapura, menjadikannya lokasi limpahan semula jadi bagi permintaan pusat data yang tidak lagi dapat ditampung republik tersebut. 

“Namun ke­ya­kinan ini perlu di­sokong oleh pe­laksanaan dasar yang konsisten. Pelabur memerlukan kepastian dari segi peraturan, kelulusan pembangunan, kestabilan bekalan tenaga serta kerangka tadbir urus data. 

“Sebarang ketidaktentuan dasar berpotensi menjejaskan momentum positif yang sedang terbina,” jelasnya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata, antara faktor utama pertumbuhan industri pusat data adalah perkembangan industri teknologi maklumat (IT) global yang kini menjurus ke arah pembangunan kecerdasan buatan (AI), selain perluasan penggunaan teknologi digital dalam gaya hidup masyarakat dunia.

Katanya, perkembangan pesat industri IT memerlukan sokongan infrastruktur kritikal, khususnya pusat data yang berperanan sebagai enjin utama kepada transformasi digital global.

“Syarikat multinasional (MNC) dari Amerika Syarikat (AS), China, Eropah dan negara maju lain kini berlumba-lumba membangunkan teknologi baharu dengan pelaburan mencecah berbilion dolar bagi memastikan kekal sebagai pemain utama atau sekurang-kurangnya relevan dalam rantaian nilai global.

“Malaysia pula merekodkan pelaburan melebihi RM10 bilion pada 2025 sahaja bagi pembangunan pusat data, melibatkan syarikat teknologi global seperti AWS, Microsoft, Nvidia serta beberapa pemain utama lain, tertumpu di Lembah Klang dan Johor.

“Kedudukan strategik Malaysia serta kekukuhan infrastruktur negara, khususnya dalam menyediakan bekalan tenaga seperti elektrik dan air, menjadikan negara ini antara destinasi pilihan utama di rantau Asia Tenggara, malah berpotensi muncul sebagai hab pusat data serantau.

“Walaupun beberapa negara Asia Tenggara lain berusaha menyaingi Malaysia dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) bagi sektor ini, langkah proaktif yang diambil Malaysia sejak 2024 memberikan kelebihan daya saing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×