Pasar Pokok Pinang

Pasar Pokok Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siew Ming turun dari bas. Dia teringat untuk masuk ke Pasar Pokok Pinang yang terletak tidak jauh dari situ terlebih dahulu. Sudah lama dia tidak singgah. Rindu pula rasanya. Sewaktu remaja dahulu dia pernah bekerja di sebuah pasar raya berdekatan situ, dan dia selalu masuk ke kawasan pasar tersebut untuk membeli nasi bungkus. Dia masih ingat betapa enaknya ikan keli goreng kunyit dan juga pelbagai sayur dimasak lemak.

Semenjak Siew Ming berkahwin dan mengikut suami tinggal di Kedah, jarang-jarang sekali dia berpeluang masuk ke pasar tersebut lagi. Waktu itu jam di tangannya menunjukkan 10 pagi. Bersama beg galas yang disandang di bahu, dia membelok masuk ke lorong pasar tersebut.

Semasa menapak di kaki lima untuk memasuki lorong tersebut, dia melihat beberapa papan tanda kedai telah berubah nama. Rupa-rupanya kedai-kedai itu telah dimiliki oleh bangsa asing.

Nama pemilik kedai berbangsa Bangladesh tersergam di beberapa premis yang menjual peralatan sekolah, kasut dan sebagainya. Mereka ke negeri ini dan bekerja bersungguh-sungguh, jadi sekarang mereka berjaya kerana hasil kerja keras mereka.

Membelok ke lorong Pasar Pokok Pinang, dia melangkah sambil memerhati peraih yang sedang menjual ikan, sayuran dan buah-buahan di situ. Suasana pasar yang agak lengang menyebabkan Siew Ming terkejut serta berasa hairan. Kali terakhir dia masuk ke lorong ini adalah lima tahun lepas. Ketika itu pasar ini masih riuh rendah dan hingar bingar. Ramai orang lalu lalang sehingga jalan seolah-olah terasa sempit dan bersesak-sesak.

Tetapi sekarang pasar ini tidak ubahnya seperti dilanda garuda. Sunyi sepi hanya sesekali dia berselisih bahu dengan pelanggan lain. Penjual pun tidak lagi ramai berbanding satu masa dahulu. Aneh betul fikir Siew Ming.

“Ikan, mek?” Peraih perempuan yang berbadan gempal, berkulit hitam manis menawarkan ikan jualannya.

Siew Ming memandang sekilas ikan-ikan yang berada di dalam talam. Ada beberapa jenis ikan bersaiz besar dijual. Ikan tenggiri, kerapu, siakap dan lain-lain. Ikan-ikan itu kelihatan segar, mata bercahaya dan berkilat.

“Tenggiri itu berapa sekilo kak?” Tanya Siew Ming.

“RM45 sekilo cik. Cik nak berapa kilo?” Perempuan itu bertanya sambil menyingsing lengan bajunya. Dia kelihatan bersedia untuk menimbang ikan tersebut. Gelang emas yang besar-besar berlingkar di pergelangan kedua belah lengannya.

“Mahalnya…maaf ya. Saya tak jadi beli.”

Perempuan itu tidak jadi menimbang. Dia senyum sahaja, mungkin rezekinya belum sampai. Sejak pagi tadi, belum ada seorang pun sudi membeli ikannya. Dia tidak kecewa. Menjadi peniaga harus bersabar dan sentiasa bermuka manis. Usah sombong atau meninggi diri, rezeki akan menjauh jika dia bermuka masam. Itu prinsip perempuan tersebut dalam perniagaan. Hari ini perempuan muda ini tidak jadi membeli, mana tahu di hari lain dia akan memborong lima kilo ikan. Peraih itu cuba memujuk hatinya.

Siew Ming meninggalkan penjual ikan tersebut. Dia berjalan perlahan-lahan. Sesekali dia pandang ke arah kanan, dan sesekali pula dia toleh ke kiri. Penjual nampaknya lebih ramai daripada pembeli.

Siew Ming bergerak ke gerai menjual kuih muih. Di sini ada beberapa perempuan sedang memilih kuih muih. Agak banyak pilihan kuih muih di situ. Ada kuih kura-kura, kuih bangkit, kuih lapis, kuih kaswi , bak cang dan sebagainya. Siew Ming memilih sebungkus kuih kura-kura dan dua bungkus kuih bangkit. Dia menghulur RM50 dan menunggu penjual itu memulangkan bakinya.

“Ke mana pergi semua orang di pasar ini? Dulu pasar ini sangat meriah kan?” Siew Ming cuba bertanya kepada penjual kuih tersebut.

“Entahlah cik. Beginilah keadaan pasar ini sekarang. Tidak lagi meriah macam dulu. Perniagaan kami merosot teruk berbanding dahulu. Orang tidak lagi datang ke pasar ini. Pelanggan semua menghilang. Mungkin mereka pergi ke pasar lain atau pun pasar raya. Banyak pilihan di kawasan berdekatan sini. Barangkalilah.”

“Agak-agak apa punca mereka tidak lagi datang membeli belah sini ya? Hairan sungguh saya melihat keadaan ini sekarang.” Siew Ming cuba mencungkil pendapat peniaga itu.

“Mungkin kuasa beli semakin mengecil, orang dah tak berduit. Mereka semakin berhemat dalam berbelanja, cik.”

“Ya…boleh jadi juga. Cuma saya agak terkejut melihat perubahan drastik berbanding lima tahun lepas, itulah kali terakhir saya ke sini. Dulu bukan main meriah lagi suasana di pasar ini. Lebih-lebih lagi di musim perayaan.”

“Musim perayaan masih meriah seperti dahulu cik. Jika tak percaya cik boleh datang dua malam sebelum Tahun Baru Cina. Masih ramai yang keluar berniaga di sini cik.”

“Oh begitukah? Nanti saya akan buat kuih bakul dan kerepek untuk jual kat sini dua malam sebelum perayaan Tahun Baru Cina. Bolehkan?”
“Boleh sangat cik.”

Kebetulan Siew Ming sudah kembali ke negerinya setelah suaminya ditukarkan ke sini. Dia yang rajin membuat kuih muih itu tidak akan melepaskan peluang keemasan tersebut.

Berniaga di Pasar Pokok Pinang sudah menjadi kelaziman nenek moyangnya yang terdahulu. Darah peniaga sudah sebati dalam jiwanya sejak sekian lama. Hanya Siew Ming tidak berpeluang berniaga di situ kerana mengikut suami yang bekerja sebagai penjawat awam.

Siew Ming mula membeli pisang daripada orang kampung untuk dibuat kerepek. Pisang nangka adalah jenis terbaik dan paling sesuai. Malangnya, ketika ini harga pisang, minyak masak untuk menggoreng pisang pun sudah melonjak tinggi. Patutlah semua harga setiap benda menjadi mahal dan wang dirasakan menjadi terlalu kecil nilainya.

Sehari Siew Ming mampu menggoreng setandan pisang. Setelah disidai sehingga sejuk, dia memasukkan kerepek pisang itu ke dalam bekas plastik kedap udara. Kemudian dia membalut antara tudung dengan botol tersebut dengan tape agar kerepek tidak dimasuki angin. Setelah itu Siew Ming melabelkan harga kerepek tersebut.

Seminggu kemudian dia ke pasar raya membeli ubi ngaku yang diimport dari Tiongkok. Dia membuat kerepek ngaku pula. Kerepek ubi ngaku sangat digemari kerana ia ranggup dan lemak.

Semua ini disediakan untuk dijual pada malam kedua dan malam pertama sebelum perayaan Tahun Baru Cina menjelang. Ketika itu ramai perantau pulang untuk beraya. Mereka akan membeli ole-ole untuk diberi kepada saudara mara yang akan dikunjungi atau untuk kegunaan semasa sembahyang Tahun Baru Cina.

Siew Ming sebenarnya tidak perlu bersusah payah membuat semua ini. Namun kerana dia hanyalah seorang suri rumah, jadi waktu lapangnya sudah semakin banyak sejak anak-anaknya memasuki sekolah menengah. Tugas

Siew Ming hanya mengemas rumah serta menyediakan makan tengah hari untuk mereka berempat. Anak-anak akan pergi dan pulang sekolah dengan bas. Selepas itu mereka akan pergi ke kelas tambahan pula.

Kerana itulah Siew Ming merasakan waktu terluangnya begitu banyak. Masa adalah emas, ia perlu diisi dengan melakukan pekerjaan yang berfaedah. Di samping itu dia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

Jari Siew Ming terluka sewaktu menghiris ngaku menjadi kepingan nipis-nipis. Kerana terlalu hendak cepat dia terlalai. Kepingan ngaku nipis itu terjatuh ke dalam minyak yang sedang panas. Jari terluka segera dibalut dengan plaster.

Kemudian dia memakai sarung tangan untuk memastikan jarinya yang lain terselamat. Ngaku yang sudah kekuningan diangkat lalu disidai dalam balang anyaman buluh. Setelah mendapat 10 botol kerepek ngaku, dia berhenti untuk projek lain pula.

Dua minggu sebelum Tahun Baru Cina Siew Ming bertandang ke rumah jirannya, Mak Cik Leha. Dia mengajak Mak Cik Leha datang membantunya membuat kuih bakul. Pelawaannya itu dipersetujui oleh Mak Cik Leha memandangkan dia tidak perlu menjaga cucu tahun tersebut. Semua cucunya sudah masuk sekolah dan tinggal dengan ibu bapa masing-masing.

Keesokan harinya Mak Cik Leha datang dengan anak perempuannya Asmah untuk membantu. Siew Ming mengajari mereka bagaimana untuk melapik daun pisang ke dalam bekas aluminium. Dua tiga kali ajar, Mak Cik Leha dan Asmah mulai faham. Pada awalnya mereka agak kekok untuk melapik daun pisang itu namun lama-kelamaan jari jemari mereka mula pantas dengan kerja tersebut.

Keesokan harinya, Siew Ming meminta bantuan adiknya menguli tepung pulut yang dikisar bersama gula. Setelah doh menjadi cair, Siew Ming mengajar Mak Cik Leha dan Asmah menceduk tepung ke dalam bekas aluminium yang berlapik daun pisang. Setelah selesai diceduk tepung, adik Siew Ming mengangkatnya ke atas kukusan yang di bawahnya berisi air mendidih.

Adik Siew Ming menolong jagakan api. Api tidak boleh terlalu marak atau terlalu kecil. Ia akan dikukus lebih kurang lapan jam sehinggalah warnanya kemerah-merahan. Setelah itu ia diangkat dan disejukkan di atas gerai buluh.

Gerai itu dibuat oleh mendiang ayah Siew Ming sewaktu mendiang ibu Siew Ming membuat kuih bakul suatu masa dahulu. Siew Ming yang biasa melihat ibunya membuat kuih bakul, berasa yakin bahawa dia juga mampu membuatnya pada suatu hari nanti.

Hari ini ternyata Siew Ming mampu membuktikan keyakinannya itu. Dia berpuas hati dengan kecomelan kuih-kuih bakul tersebut. Esok, Mak Cik Leha dan Asmah akan datang untuk menggunting jurai-jurai daun pisang pada

kuih bakul yang sudah dialih ke atas rak kayu yang setinggi empat tingkat. Apabila jiran-jiran terdekat mengetahui Siew Ming membuat kuih bakul, maka ramailah yang datang untuk membelinya.

Sesuatu yang paling Siew Ming risaukan sepanjang proses membuat kuih bakul ini. Dia sangat bimbang sekiranya ada pelanggan yang datang tidak tahu tentang pantang larang pembuatannya. Namun kebimbangan itu terjadi juga pada suatu hari.

Seorang perempuan datang membeli kuih bakul Siew Ming. Dia memimpin seorang anak berusia lebih kurang tujuh tahun. Sewaktu kanak-kanak itu melintasi tempat pengukusan kuih, satu pertanyaan terpacul keluar daripada mulutnya.

“Mama…bila kuih ini akan masak?”

“Shisy..,” si ibu menjawab sambil membuat isyarat tangan.

Jantung Siew Ming berdetak kencang. Segunung kerisauan melanda benaknya.

‘Habislah kali ini,’ bisik hati Siew Ming namun dia cuba untuk bertenang dan cuba menolak sangkaan buruk yang singgah di benaknya.

Beberapa jam kemudian adik Siew Ming membuka penutup kukusan.

Siew Ming datang menjenguk, terkejut besar dia apabila kuih bakulnya berwarna putih seperti baru dikukus. Jika mengikut jam, waktunya sudah sampai untuk kuih itu masak kemerah-merahan.

Siew Ming membuka kembali api dan mengukusnya beberapa jam lagi namun warnanya tetap pucat lesi.

Kuih itu terpaksa dibuang begitu sahaja namun Siew Ming tidak berputus asa untuk membuatnya lagi, dia pasti akan membawa kuih bakul yang cantik untuk dijual di Pasar Pokok Pinang menjelang Tahun Baru Cina nanti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×