DALAM landskap ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan tidak lagi mempunyai kemewahan untuk mengekalkan pendekatan subsidi secara pukal tanpa menilai keberkesanan dan keadilannya.
Perbelanjaan melebihi RM70 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif pada 2024, diikuti RM58 bilion pada 2025 dan unjuran RM49 bilion pada 2026, jelas menggambarkan betapa besarnya komitmen fiskal negara dalam menjaga kebajikan rakyat.
Namun persoalannya bukan sekadar berapa besar jumlah subsidi dibelanjakan tetapi siapa yang benar-benar mendapat manfaat daripadanya.
Langkah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasionalisasikan subsidi secara berperingkat sejak 2023, selari dengan pengenalan Kerangka Ekonomi Madani, menandakan satu perubahan dasar yang signifikan.
Ia bukan bertujuan mengurangkan bantuan kepada rakyat, sebaliknya memastikan subsidi disalurkan kepada golongan paling memerlukan, khususnya isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang terkesan langsung dengan tekanan kos sara hidup.
Pendekatan ini diperkukuhkan pada 2024 menerusi penambahbaikan mekanisme subsidi tenaga, penyasaran subsidi diesel serta peluasan bantuan tunai bersasar.
Rasionalisasinya jelas. Subsidi tidak lagi boleh dinikmati secara meluas termasuk oleh golongan berpendapatan tinggi atau pihak yang tidak layak.
Dari sudut ekonomi makro, rasionalisasi subsidi memberikan ruang fiskal yang lebih mampan kepada kerajaan. Penjimatan daripada subsidi pukal membolehkan peruntukan disalurkan semula kepada sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan, perlindungan sosial dan pembangunan modal insan.
Lebih penting, pendekatan bersasar membantu mengurangkan ketirisan, di samping memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial. Bantuan yang diterima secara langsung bukan sahaja meringankan beban kewangan rakyat, malah berupaya meningkatkan pendapatan boleh guna, seterusnya merangsang aktiviti ekonomi domestik.
Dalam jangka sederhana, dasar ini menyumbang kepada usaha menaikkan lantai ekonomi, selari aspirasi Madani untuk membina masyarakat yang lebih adil dan seimbang.
TREND KEMISKINAN DAN KEBERKESANAN BANTUAN
Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penurunan kadar miskin tegar dari 0.09 peratus pada 2024 kepada tiada rekod tegar pada 2025, menunjukkan kejayaan dasar dan peralihan ke bantuan bersasar yang lebih efektif.
Walaupun kadar tegar hampir tiada, bilangan mereka yang di bawah garis kemiskinan mutlak masih signifikan pada 2025, menunjukkan bahawa dasar kerajaan masih perlu berterusan memperkasa golongan B40 dan M40 rendah.
Walaupun cabaran kos sara hidup masih dirasai, namun pelaksanaan bantuan tunai bersasar dan subsidi keperluan asas menunjukkan tanda-tanda penurunan berperingkat golongan miskin tegar dan miskin. Pun begitu, kerajaan mengakui usaha ini tidak boleh bersifat sementara atau bersandarkan bantuan semata-mata. Rakyat tidak boleh terus hanya diberi tongkat tanpa mengajar mereka berjalan.
Sebaliknya, rasionalisasi subsidi perlu digandingkan dengan inisiatif peningkatan pendapatan, latihan kemahiran serta penciptaan peluang pekerjaan berkualiti agar rakyat mampu berdikari secara mampan.
Reaksi rakyat terhadap rasionalisasi subsidi pada peringkat awal bersifat berhati-hati, khususnya dalam kalangan M40 yang bimbang tercicir daripada senarai penerima.
Namun, penerimaan semakin positif apabila kerajaan memperkukuh mekanisme penyaluran dan meningkatkan komunikasi dasar.
Hakikatnya, rakyat tidak menolak rasionalisasi tetapi menuntut keadilan, ketelusan dan jaminan bahawa bantuan benar-benar sampai kepada sasaran.

PENDEKATAN RASIONALISASI SUBSIDI BERPERINGKAT
Rasionalisasi perlu diteruskan. Namun, pelaksanaannya menuntut kebijaksanaan politik dan kepekaan sosial. Rasionalisasi yang terlalu mendadak berisiko mencetuskan tekanan kos sara hidup dan menjejaskan sentimen pengguna.
Sebaliknya, pendekatan berperingkat, disokong data yang sentiasa dikemas kini serta mekanisme rayuan yang adil, akan memastikan dasar ini kekal berkesan dan diyakini rakyat.
Kegagalan merasionalisasikan subsidi secara terancang berisiko membawa beberapa implikasi serius, termasuk beban fiskal berpanjangan, ketirisan subsidi, ketidakadilan sosial serta risiko ketidaktentuan ekonomi jangka panjang.
Bagaimanakah kerajaan memastikan pelaksanaan rasionalisasi subsidi benar-benar menepati sasaran golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tanpa menjejaskan kuasa beli mereka dalam jangka pendek, khususnya ketika kos sara hidup masih mencabar?
Mengulas mengenai kembimbangan itu, Pensyarah Ekonomi di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin berpendapat, apa yang penting adalah bagaimana kerajaan menggunakan data terkini hasil daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang telah dijalankan.
Ia seterusnya menambah baik mekanisme yang dibuat agar golongan yang perlu dibantu tidak tercicir dan mendapat kesan yang optimum dengan kos pelaksanaan yang efektif.
Beliau memberikan contoh, adakah perlu ada perubahan dari segi kuota 300 liter sebulan bagi program subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95)? Ataupun, apakah ada keperluan untuk menjadikan ikhtiar Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua dilakukan secara berkala seperti SARA Bulanan di masa hadapan?
“Ini adalah kerana, golongan M40 dan sesetengah golongan T20 juga terkesan akibat daripada kenaikan kos sara hidup yang akhirnya mengakibatkan kuasa beli mereka terhakis,” katanya.
Irwan Shah berkata, rasionalisasi subsidi ini akan memantapkan lagi sistem perlindungan sosial negara yang dapat menyumbang kepada peningkatan dalam kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, indikator utama yang boleh digunakan adalah seperti nilai koefisien Gini (alat untuk mengukur perbezaan pendapatan di antara keluarga) dan peningkatan dalam kadar upah.
Selain itu, ia boleh diukur melalui nisbah hutang isi rumah, jumlah kebankrapan yang berlaku, adanya akses kepada perkhidmatan asas yang berkualiti dan indeks kebahagiaan Malaysia di peringkat global.
Ironinya, subsidi pukal tidak boleh dilaksanakan apatah lagi secara berterusan kerana ia bukan sahaja membebankan kewangan negara, malah bercanggah dengan prinsip keadilan sosial yang ingin ditegakkan.
Rasionalisasi subsidi bukan pilihan mudah tetapi keperluan struktur demi kelestarian ekonomi negara. Dalam menghadapi realiti kewangan semasa, kerajaan perlu terus mengimbangi antara disiplin fiskal dan tanggungjawab sosial.
Akhirnya, kejayaan dasar ini tidak diukur melalui angka peruntukan semata-mata tetapi sejauh mana ia mampu mengangkat kehidupan rakyat yang paling memerlukan, tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.










