SINGAPURA: Syarikat-syarikat di Singapura kini menggunakan dron, robot dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan pemeriksaan dan penyelenggaraan bangunan.
Ketiga-tiga teknologi itu digunakan bagi menjimatkan masa pemeriksaan, di tengah-tengah kos pembinaan yang meningkat dan kekurangan tenaga kerja.
Pasukan pengurusan fasiliti di Hab Sukan Singapura hanya mengambil masa tiga hari untuk mengumpul dan menganalisis ribuan gambar dekat bangunan Stadium Nasional menggunakan dron serta AI, tugas yang sebelum ini mengambil masa sehingga dua minggu jika dilakukan secara manual.
Kerja-kerja itu diketuai oleh C&W Services iaitu anak syarikat pengurusan fasiliti dan kejuruteraan firma hartanah komersial Cushman & Wakefield, yang menggunakan dron serta AI untuk pemeriksaan fasad di hab sukan tersebut sejak 2018, menjimatkan masa pemeriksaan antara 50 hingga 70 peratus.
“Sebelum ini, jurutera perlu mengakses kawasan penyelenggaraan menggunakan tali dan takal untuk mengimbas kerosakan secara manual. Proses itu sangat memenatkan serta mudah terlepas pandang.
“Sekarang, kami boleh menerbangkan dron, mengambil ribuan gambar yang merangkumi keseluruhan fasad dan menggunakan AI untuk mengenal pasti kerosakan.
“Kami kemudian menghantar pakar ke lokasi tepat untuk pemeriksaan lanjut dan pembaikan. Sistem AI juga boleh menjana laporan pemeriksaan dengan lebih pantas,” kata Pengarah Urusan C&W Services, Lam Shiu Tongke kepada akhbar The Straits Times.
Selain untuk pemeriksaan bangunan, firma penyelenggaraan pencakar langit ISO Team sedang membangunkan dron yang boleh mencuci, mengecat bahagian luar bangunan, mengurangkan keperluan perancah serta risiko bekerja pada aras tinggi.
Menurut dua penganalisis, Natalie Ong dan Then Wan Lin dari syarikat CGS International Securities Singapore, walaupun pelaburan dalam teknologi itu mahal, ia dijangka memberi pulangan yang lebih baik dalam jangka panjang.
Mulai April, Pihak Berkuasa Pembinaan dan Bangunan (BCA) akan menyediakan geran baharu untuk syarikat kecil melabur dalam teknologi termasuk robot dan automasi, yang boleh menjimatkan sehingga 50 peratus penggunaan tenaga kerja. – AGENSI










