WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan sedang mempertimbangkan penempatan kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat kedua ke Asia Barat, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Teheran ketika rundingan diplomatik masih berlangsung.
Seorang pegawai AS turut mengesahkan perbincangan dalaman mengenai penghantaran kumpulan serangan kedua sedang dijalankan. Ia dijangka menyertai USS Abraham Lincoln yang kini ditempatkan di rantau berkenaan.
Dalam wawancara bersama media Israel, Trump berkata, AS perlu melakukan sesuatu yang sangat tegas sekiranya tiada perjanjian dicapai dengan Iran.
“Kita mempunyai armada yang sedang menuju ke sana dan satu lagi mungkin akan menyusul.
“Sama ada kita mencapai perjanjian atau kita perlu melakukan sesuatu yang sangat tegas seperti sebelum ini,” katanya merujuk kepada serangan Udara AS pada Jun tahun lalu yang menyasarkan tiga kemudahan nuklear utama Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.
Menurut pegawai yang dipetik Reuters, USS George Washington yang kini berada di Asia dan USS George H.W. Bush di pantai timur AS merupakan antara yang mungkin dihantar ke Asia Barat, namun kedua-duanya sekurang-kurangnya memerlukan tempoh seminggu untuk tiba di rantau itu.
Pentagon juga mempunyai pilihan untuk mengerahkan kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford dari Caribbean.
Analisis imej satelit turut menunjukkan tentera AS di pangkalan al-Udeid di Qatar mula menempatkan peluru berpandu Patriot ke dalam trak pelancar mudah alih.
Langkah tersebut bermakna sistem tersebut boleh digerakkan dengan lebih pantas sama ada untuk tujuan serangan atau pertahanan sekiranya berlaku serangan Iran.
Trump berkata, beliau menjangkakan pusingan kedua rundingan dengan pegawai Iran akan berlangsung minggu depan, sambil mendakwa Teheran kini lebih serius dalam penglibatan mereka.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan pihaknya komited sepenuhnya terhadap penyelesaian diplomatik dengan AS namun pada masa yang sama bersiap sedia menghadapi kemungkinan konflik baharu.
“Tiada penyelesaian selain penyelesaian diplomatik. Namun kami masih belum mempunyai kepercayaan penuh terhadap AS.
“Kami berada di tengah-tengah rundingan pada Jun tahun lalu apabila mereka memutuskan untuk menyerang kami. Itu merupakan pengalaman yang sangat buruk bagi kami,” katanya.
Beliau menekankan program pengayaan uranium Iran adalah untuk tujuan aman dan tahapnya bergantung kepada keperluan awam, dengan reaktor tenaga memerlukan pengayaan di bawah lima peratus, manakala Reaktor Penyelidikan Teheran menggunakan bahan api diperkaya 20 peratus untuk menghasilkan isotop perubatan bagi rawatan kanser.
Beliau turut mengkritik keras Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang disifatkannya sebagai ‘penghasut perang’ kerana berulang kali cuba mengheret Washington ke dalam ketegangan lebih luas dengan Iran.
Sekiranya diserang sekali lagi, Araghchi memberi amaran Iran akan menyerang aset dan pangkalan tentera AS di seluruh rantau tersebut.-AGENSI










