PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah menghadiri satu perjumpaan bersama Lembaga Rayuan parti itu hari ini berkait pemecatannya daripada Bersatu, bulan lalu.
Saifuddin berkata, perjumpaan tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Rayuan, Tan Sri Azhar Harun, bersama empat orang anggota lain dan berlangsung selama kira-kira 85 minit.
Menurutnya, beliau diberikan ruang secukupnya untuk menjelaskan perkara-perkara yang berlaku semasa sesi perjumpaannya dengan Lembaga Disiplin Bersatu pada 6 Disember 2025.
“Dalam perjumpaan hari ini, Lembaga Rayuan memberi tumpuan khusus terhadap aspek prosedur yang digunakan oleh Lembaga Disiplin dalam mengendalikan kesnya.
“Saya membentangkan hujahan berdasarkan surat setebal 12 halaman yang saya kemukakan kepada lembaga rayuan pada 16 Jan.
“Selain itu, saya turut menyerahkan kepada Lembaga Rayuan sebuah warkah terbuka setebal 40 halaman bertajuk ‘Muhyiddin Hilang Arah, Wajar Berundur’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin turut mendedahkan dalam sesi bersama Lembaga Disiplin sebelum ini, beliau telah mengemukakan tiga tuntutan utama yang berkait dengan prinsip keadilan semula jadi, selain memohon satu tarikh baharu bagi sesi perjumpaan yang mematuhi prinsip-prinsip tersebut.
“Bagaimanapun, saya tidak pernah dipanggil semula untuk menghadiri mana-mana sesi perjumpaan Lembaga Disiplin yang baharu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada 6 Januari lalu, beliau menerima pemberitahuan rasmi daripada Lembaga Disiplin bahawa keputusan telah dibuat untuk memecatnya daripada parti.
Pada 6 Januari lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat Ahli Parlimen Indera Mahkota itu atas alasan melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan setiap ahli mematuhi perlembagaan, kod etika serta tatakelakuan parti.
Bekas menteri itu dipanggil menghadap Lembaga Disiplin susulan gesaannya agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan.
Kenyataan berkenaan dibuat menerusi satu wawancara, selain satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh beberapa Ketua Bahagian Bersatu.
Dalam kenyataan tersebut, Saifuddin mendakwa Muhyiddin telah kehilangan kualiti kepimpinan dan turut menggesa peletakan jawatan beberapa tokoh kanan parti, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Tun Faisal Ismail Aziz. – UTUSAN










