Secara tiba-tiba, dunia politik negara yang agak sunyi sejak beberapa bulan kebelakangan ini kembali mendapat perhatian bila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengambil inisiatif memanggil menghadap pemimpin parti-parti politik utama secara bergilir-gilir mulai pagi Rabu lalu.
Pelbagai spekulasi mula bertiup kencang ekoran peristiwa ini. Paling menarik, kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad yang dilapor mengandaikan kemungkinan berlaku pembentukan kerajaan baharu.
Begitupun, spekulasi tersebut nampak tersasar bila pemimpin parti-parti politik utama negara yang selesai menghadap Seri Paduka khususnya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan isu pembentukan kerajaan baharu tidak menjadi bahan perbincangan.
Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai tujuan sebenar majlis menghadap tersebut dibuat, petunjuknya terdapat dalam kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin mengenai penganjuran Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun ini.
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dibuat atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong adalah berkaitan usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat, maka ia menunjukkan majlis menghadap pemimpin parti-parti politik terbabit juga mempunyai tujuan sama.
Semua ini menjadi petunjuk nyata bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak seperti sangkaan sesetengah pihak, sangat prihatin dengan penularan wabak Covid-19. Bukan setakat menzahirkannya dalam kenyataan malah menterjemahkannya dalam tindakan sehingga ke tahap membincangkannya dengan raja-raja Melayu.
Kesediaan Seri Paduka menerima menghadap pemimpin parti-parti politik khususnya dalam kalangan pembangkang juga adalah indikasi jelas Istana Negara kekal relevan sebagai payung rakyat yang berada di atas politik dan sentiasa bersedia mendengar segala keluhan rakyat jelata.
Pada masa sama, adalah kurang manis dan berada di luar daripada tatasusila lazim untuk mana-mana individu yang menghadap Yang di-Pertuan Agong mendedahkan dengan terperinci segala butiran percakapan dan titah yang dikeluarkan dalam majlis tersebut ke khalayak umum kerana kesemua ini sepatutnya menjadi satu rahsia.
Begitupun, inilah yang dilakukan oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendedahkan butiran titah Yang di-Pertuan Agong kepadanya, khususnya yang menyentuh cadangan beliau supaya diwujudkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara.
Mengikut cadangan Dr. Mahathir, Mageran perlu ditubuhkan bagi membolehkan masalah-masalah yang dihadapi oleh negara sekarang seperti wabak Covid-19, ekonomi dan politik diselesaikan sepertimana peristiwa 13 Mei 1969 diselesaikan olehnya.
Lebih jauh lagi, Dr. Mahathir juga mencadangkan dirinya untuk mengetuai Mageran atas asas para pemimpin dalam Pejuang telah membincangkan dengan mendalam masalah-masalah ini serta mereka dikatakan tahu cara-cara untuk menyelesaikannya tetapi sukar melaksanakannya kerana tidak ada kuasa.
REAKSI
Menariknya, apabila ditanya oleh wartawan apa reaksi Yang di-Pertuan Agong atas cadangan penubuhan Mageran, Dr. Mahathir menjawab, Seri Paduka tidak menyatakan “tidak” kepadanya tetapi sebarang cadangan mengenainya mestilah datang daripada kerajaan yang sedang memerintah sekarang.
Titah Yang di-Pertuan Agong ini, jika benar, membuktikan kebijaksanaan Seri Paduka selaku seorang raja berperlembagaan sekali gus menafikan pandangan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan seperti dua pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Dr. Zulqarnain Lukman bahawa Mageran boleh ditubuhkan walaupun tanpa cadangan daripada kerajaan.
Pada masa sama, cadangan Dr. Mahathir ini membuktikan kenyataan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad, sehari sebelumnya mengenai usaha pihak tertentu supaya ditubuhkan Mageran dan mengenai betapa ia tidak perlu adalah sesuatu yang wajar dan bertepatan, malah sebenarnya mendahului masa.
Seperti yang dijelaskan oleh Marzuki, usaha menubuhkan Mageran adalah satu langkah ke belakang yang akan merencatkan perancangan kerajaan untuk memulihkan negara daripada krisis sedang kita hadapi termasuk beberapa mekanisme khusus sedia ada untuk menangani wabak Covid-19.
Selain perbezaan ketara suasana sekarang dengan 13 Mei 1969, perlu diingat, walaupun berada di bawah Mageran pada waktu itu, Seksyen 2(2) Ordinan No. 2 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 tetap memperuntukkan Pengarah Mageran hendaklah bertindak dengan mengikut nasihat Perdana Menteri.
Oleh itu, penubuhan Mageran sekarang sememangnya tidak perlu kerana selain sudah mempunyai beberapa mekanisme khusus dengan kuasa masih di tangan Perdana Menteri, ia hanya akan mengendalakan perancangan. Jika ia wujud, pastilah banyak masa akan terbuang sedangkan yang diperlukan sekarang adalah kecepatan dalam bertindak.
Lebih penting lagi, cadangan penubuhan Mageran sebenarnya membuktikan dua perkara besar dalam dunia politik negara sahaja, iaitu betapa parti-parti pembangkang sebenarnya amat bercelaru sekali dan betapa Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin seperti pernah dihuraikan oleh Dr. Khoo Boo Teik (pemerhati politik), dipenuhi dengan paradoks.
Ini kerana cadangan penubuhan Mageran ditentang oleh beberapa pemimpin pembangkang yang didahului Presiden Amanah, Mohamad Sabu, diikuti penonjolan mengenai kontradiksi Dr. Mahathir yang pada suatu masa mahu darurat ditamatkan tetapi pada masa lain mahu pula Mageran yang bererti penerusan darurat ditubuhkan.
Inisiatif Yang di-Pertuan Agong adalah terbaik dan selaku seorang negarawan, Dr. Mahathir sepatutnya menggunakan ruang menghadap Seri Paduka bukan untuk cuba mendapatkan kembali kuasa kepada dirinya tetapi sepatutnya berkongsi cara-cara menyelesaikan masalah-masalah yang beliau ada.
Pada akhirnya, tradisi merujuk kepada rakyat, sama ada melalui ahli-ahli Parlimen atau melalui ketua parti-parti politik utama negara serta tradisi melaksanakan musyawarah dengan raja-raja Melayu yang ditunjukkan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak syak lagi akan menjadikan institusi ini kekal disanjungi dan dijadikan pengharapan oleh rakyat.
Dr. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).











