Seperti calon-calon lain, saya turut berdebar-debar ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, kelmarin. Tambahan pula, kami telah menempuh pelbagai masalah dan ketidakpastian sebelum berjaya menamatkan peperiksaan yang beberapa kali tertunda akibat penularan pandemik Covid-19. Di sebalik kesulitan dihadapi sebagai pelajar Tingkatan 5 Pro Max, kami bangga kerana berjaya buktikan segala rintangan bukanlah penghalang.
Adat dalam setiap peperiksaan, ada yang berjaya, ada yang gagal mendapat keputusan seperti diharapkan. Oleh itu, saya sering mengingatkan kepada diri sendiri, apa pun keputusannya, ia adalah permulaan kepada satu perjalanan hidup yang masih jauh.
Alhamdulillah, sebagai seorang pelajar yang mengikuti pendidikan di rumah (home-school), saya amat bersyukur dengan keputusan 4A 2B yang diperoleh. Ia menjadi satu peringatan bagi diri saya untuk berusaha dengan lebih kuat pada masa hadapan.
Setiap orang tentunya mempunyai rancangan tersendiri dalam merealisasikan cita-cita. Bersyukurlah jika berjaya mendapat keputusan cemerlang. Insya-Allah, semoga kita berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati.
Pada masa sama, kita tidak boleh leka dengan kejayaan ini kerana masih banyak lagi ranjau di hadapan kita. Kita juga mesti berhati-hati dalam merangka langkah seterusnya berdasarkan kepada realiti keadaan semasa.
Namun, jika kali ini nasib tidak menyebelahi kita, janganlah terlalu tertekan dan berputus asa. Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Kita harus bangkit daripada kegagalan, bermuhasabah diri dan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. Sebagai orang yang beriman, kita mesti percaya kepada qada dan qadar Allah.
Itulah nasihat ibu kepada saya dan kakak-kakak. Walaupun sangat tegas dalam mendidik, namun ibu sentiasa cuba memahami perasaan kami. Dalam hal pelajaran, selain memastikan kami belajar bersungguh-sungguh, ibu selalu berpesan agar sentiasa bermunajat kepada Allah. Setelah itu, bertawakal kepada Allah supaya kita dapat menjadi insan yang sentiasa bersifat tawaduk.
Semoga kita semua mendapat kejayaan. Penuhkan ilmu di dada supaya kita tidak hanyut dibuai kehidupan yang penuh kepura-puraan.
PENULIS ialah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.











