Perlukah perpustakaan dalam zaman digital?

Perlukah perpustakaan dalam zaman digital?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARUS pendigitalan kian rancak menari di jari jemari anak muda. Kerancakkan dan keseronakkan alam maya digital membawa pelbagai wajah dan rupa dalam kehidupan harian mereka.

Celik mata, perkara pertama yang dicari adalah alat digital. Alat digital kini menjadi rakan taulan yang lebih mesra dan digemari anak muda generasi Z.

Kini timbul persoalan perlukah lagi perpustakaan dalam zaman pendigitalan? Masih relevankah perpustakaan yang diilhamkan dan diklasifikasikan sebagai tempat pengumpulan bahan bacaan fizikal?

Hakikatnya, perpustakaan masih berdansa searus dengan pemodenan zaman digital ini.

Perpustakaan masih relevan dan masih menjadi pilihan anak muda. Baik di bandar mahupun di luar bandar, kunjungan ke perpustakaan tetap menjadi pilihan ramai belia negara.

Perpustakaan kini berkaca mata baharu, telah mengalami metamorfosis seiring dengan zaman.

Kini perpustakaan lebih dinamik dan memainkan peranannya sebagai nadi pembentuk budaya membaca dalam kalangan remaja. Di sinilah penyebaran ilmu dan pemerkasaan pengetahuan berlaku secara kritis dan beretika.

GEDUNG ILMU DIGITAL

Perpustakaan kini diangkat sebagai gedung ilmu digital. Akses kepada bahan digital seperti e-buku, e-majalah, e-surat khabar, e-jurnal dan segala pangkalan data akadmik menjadi daya tarikan anak muda yang mendahagakan ilmu.

Kehausan ilmu kini dapat diminimumkan dengan adanya perpustakaan yang menawarkan pelbagai akses dalam talian. Permintaan luar biasa terhadap bahan digital anak muda sebenarnya hanya dapat dipenuhi dan diperhalusi oleh perpustakaan di seluruh pelosok negara.

Pelbagai ruang pembelajaran moden yang menyokong gaya pembelajaran generasi muda yang lebih visual, interaktif dan fleksibel dihamparkan dalam bangunan perpustakaan. Perpustakaan di negara kita berjaya menyerap tekanan digital yang semakin menaruh harapan dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan seiring dengan zaman pendemokrasian digital.

LITERASI MAKLUMAT

Kita tidak boleh menyangkal telapak pembinaan literasi maklumat adalah perpustakaan semata-mata. Dalam dunia digital yang mengalami lambakan maklumat, generasi muda berdepan cabaran yang sangat halus iaitu menapis maklumat sahih dan benar.

Pelbagai bahan yang sahih menyimpangkan fikiran dan falsafah anak muda. Namun, dengan adanya bimbingan dan tunjuk ajar oleh pegawai pustakawan yang bertauliah, generasi muda tidak akan terpesong dari akidah dan amalan harian mereka.

Persekitaran yang kondusif dan eksklusif di bangunan bergelar perpustakaan menjadikan ia sebagai tempat tumpuan anak. Penyaman udara, kipas, meja bacaan khusus, bilik bacaan eksklusif, komputer dan pelbagai kemudahan asas menjadikan anak muda rasa selesa untuk berada di perpustakaan dalam tempoh lama.

Kita sedia maklum, tidak semua anak muda terutamanya pelajar mempunyai suasana rumah yang kondusif dan selesa untuk belajar. Ruang yang selesa dan bebas dari tekanan komersial, membantu anak muda terus mendekati perpustakaan.

Perpustakaan juga menjadi wadah perpaduan negara. Semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan mampu berada di satu bangunan yang sama. Interaksi antara belia pelbagai kaum mampu menyemarakkan perpaduan dalam kalangan anak muda.

Keadilan sosial terjamin di perpustakaan. Jelas ia mampu membina jati diri dan semangat kekitaan dalam kalangan generasi muda yang menjadi tiang negara.

Penganjuran pelbagai aktiviti berbentuk akademik menjadi satu lagi daya tarikan dalam kalangan anak muda untuk berkunjung ke perpustakaan. Ceramah, forum intelektual, seminar, bengkel penulisan dan penerbitan dan pelbagai aktiviti berimpak tinggi menjadikan anak muda sering ke perpustakaan.

Perpustakaan menjadi tempat penulis pemula menginspirasikan idea dan mengasah kemahiran insaniah mereka.

Untuk memastikan perpustakan terus relevan dalam kalangan golongan muda, beberapa langkah drastik dan bersistematik serta pragmatik perlu dilaksanakan demi kelangsungan perpustakaan.

Integrasi teknologi baharu seperti aplikasi digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika, ruang kreatif dan pendekatan berbentuk pemasaran yang lebih dekat dengan generasi muda wajar diperkasakan dengan kadar segera.

Lengkapkan kemudahan dalam talian yang pantas dan tanpa gangguan. Sediakan akses percuma dan yang dikawal selia akan laman yang dilayari oleh anak muda boleh menarik aura mereka untuk terus menjejakkan kaki mereka di perpustakaan.

 

 

PUSTAKAWAN MUDA

Pelantikan pustakawan muda boleh dipraktikan. Generasi muda harus diberi peluang dan diserap dalam organisasi perpustakaan. Lebih ramai anak muda perlu diberi pengiktirafan sebagai pustakawan muda.

Mereka perlu dididik dan diasuh dengan ilmu kepustakawanan. Kaedah pengurusan koleksi, teknik penyusunan rak serta pengendalian sistem pinjaman digital harus diajar secara menyeluruh.

Penyebaran ilmu ini bukan sahaja meningkatkan kompetensi, malah mampu menarik lebih ramai pustakawan muda tampil menawarkan diri. Bukan saguhati yang mereka dambakan tetapi peluang diberikan tanggungjawab untuk berkembang dan menyumbang.

 

PROMOSI BESAR-BESARAN

Kita dapat menarik lebih ramai anak muda ke perpustakaan dengan mengadakan promosi berskala besar. Ia perlu dilakukan dengan menjadikan laman sosial yang menjadi pusat rujukan anak muda, sebagai peranti untuk menarik minat mereka.

Ia juga boleh dilakukan dengan menghasilkan video animasi yang menarik tentang perpustakaan dan segala yang terhidang di perpustakaan. Usaha ini sudah tentu mampu menapis naluri anak muda daripada terarah ke tempat lain dan terus mengetuk pintu perpustakaan.

Jadikan perpustakaan bergerak sebagai ejen untuk menarik anak muda ke perpustakaan.

Lengkapkan perpustakaan bergerak dengan segala kemudahan digital sama seperti yang berada di perpustakaan.

Pasar malam, karnival, pesta, stadium, pusat membeli belah harus menjadi lokasi pilihan perpustakaan bergerak. Kita perlu wujudkan budaya ingin tahu tentang segala yang terdampar di perpustakaan.

Dengan pelbagai usaha dan kemudahan yang tersedia di perpustakaan di seluruh negara, kita mampu menjadikan perpustakaan sebagai pusat rujukan ilmu dalam kalangan anak muda.

Usaha yang berterusan dan bukannya bermusim ini mampu menukar persepsi segelintir anak muda dan menjadikan perpustakaan sebagai pemangkin budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

Ayuh anak muda generasi Z, jadikan perpustakaan sebagai rumah kedua untuk memperkasakan diri dengan ilmu seiring dengan zaman pendigitalan yang semakin menguji keimanan, kepatuhan serta taat setia terhadap agama, bangsa dan negara.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah Akademik Kolej Matrikulasi Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×