GEORGE TOWN: Kerajaan negeri sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan penjaja dan peniaga kecil mencarum di bawah Skim Lindung Kendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai syarat tambahan bagi mendapatkan lesen perniagaan pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, langkah itu dilihat penting bagi memastikan golongan penjaja mempunyai perlindungan kebajikan sekiranya berlaku perkara tidak diingini semasa bekerja.
Menurutnya, perbincangan berkaitan pelaksanaan skim tersebut telah bermula sejak beberapa tahun lalu termasuk sesi bengkel dan taklimat melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Perkeso.
“Sejak 2024, kita sudah ada bengkel di bawah Perkeso untuk memberi taklimat kepada MBPP dan MBSP mengenai program perlindungan ini. Kerajaan negeri bersama PBT akan meneliti peraturan sedia ada termasuk kemungkinan mengaitkan caruman tersebut dengan syarat lesen dan permit perniagaan.
“Jadi, pada masa depan, kita akan kaji kemungkinan menjadikannya (skim Lindung Kendiri) syarat wajib untuk mendapatkan lesen,” katanya selepas menghadiri majlis pemeteraian MoU antara Perkeso dan MBPP di Pejabat Perkeso Pulau Pinang, di sini hari ini.
Difahamkan, caj yang dikenakan untuk mereka yang mencarum di bawah skim Lindung Kendiri sangat minimum iaitu kira-kira 64 sen sehari.
Mooi Lye berkata, walaupun caruman itu kini dilaksanakan secara mandatori di peringkat dasar, pelaksanaan penuh masih memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan PBT bagi memastikan pemahaman serta kesedaran dalam kalangan penjaja.
“Kita bukan mahu membebankan penjaja, tetapi ini adalah caruman untuk perlindungan mereka sendiri,” katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan program di bawah skim Lindung Kendiri kerana ia mampu memberi manfaat kebajikan jangka panjang kepada penjaja dan peniaga kecil. – UTUSAN











