SENARIO politik dan pentadbiran di Malaysia hari ini menyaksikan pelbagai isu yang mengundang persoalan daripada ketirisan dan salah urus, hingga rasuah yang muncul berulang kali. Banyak isu ini menjadi hangat bukan kerana ia tidak diketahui.
Sebaliknya, ia membesar kerana orang dalam tahu, tetapi takut menegur. Apabila budaya menegur melemah, yang subur ialah budaya diam, budaya ampu, budaya “jaga kedudukan”, dan budaya “asal selamat”.
Dalam keadaan begini, berdiam daripada menegur bukan lagi pilihan kecil tetapi ia menjadi strategi survival. Ada yang diam kerana takut dipinggirkan. Namun tidak semuanya benar-benar diam.
Ada sahaja yang menegur di belakang tabir melalui bisik-bisik profesional, mesej tidak rasmi, atau jaringan kecil yang saling mempercayai. Tetapi cara menegur ini “separuh berani” kerana saluran rasmi tidak dirasakan selamat.
Akhirnya, teguran menjadi senyap dan pembetulan menjadi lewat. Maka jadilah keadaan seperti peribahasa rumah sudah siap, pahat masih berbunyi tetapi bunyinya di luar rumah. Di dalam, semuanya kelihatan tenang seolah-olah tiada yang perlu dibaiki.

Budaya Diam dan Ampu
Budaya diam diri dan mengampu bukan isu remeh. Ia membunuh kreativiti kerana idea baharu dilihat sebagai ancaman. Ia merosakkan kualiti kerana yang dinilai ialah “cantiknya laporan”, bukan “selesainya masalah”.
Ia menjadikan institusi lemah dan tidak produktif secara sistemik dan sistematik kerana yang dipupuk ialah kepatuhan kosmetik, bukan keberkesanan.
Dalam budaya ini, mesyuarat menjadi tempat mengalihkan tanggungjawab di samping ‘membenarkan’ apa yang berlaku. Petunjuk prestasi utama (KPI) menjadi alat untuk menjaga imej. Prosedur operasi standard (SOP) pula menjadi perisai mengelak keputusan.
Paling bahaya adalah lahirnya penapis kebenaran di mana yang naik ke atas bukan amaran sebenar, tetapi versi yang sedap didengar. Lebih parah, masalahnya bukan sekadar tidak berani menegur.
Dalam mesyuarat semua angguk, di luar bilik semua mengeluh. Di hadapan “setuju” tetapi di belakang “tidak masuk akal”. Ini bukan fenomena baharu, tetapi ia semakin parah kerana sudah menjadi norma, seolah-olah kejujuran profesional itu beban, sementara kepura-puraan itu kemahiran.
Lebih malang, kadang-kadang bukan isu yang kelabu pun. Yang sudah jelas-jelas salah pun masih ada yang takut untuk menegur.
Bukan kerana tidak nampak, tetapi kerana sistem menghantar mesej bahawa menegur itu risiko, diam itu selamat. Lama-lama institusi tidak lagi bertanya “betul atau salah”, tetapi bertanya “selamat atau tidak selamat”.
Di sinilah roh amar makruf nahi mungkar patut dibaca dalam konteks pengurusan institusi. Menyeru kebaikan itu biasanya mudah. Semua orang boleh setuju, semua orang boleh tepuk. Tetapi mencegah kesalahan itulah yang sukar.
Ia menuntut keberanian untuk menanggung risiko dan sanggup tidak disukai. Ukuran integriti bukan pada banyaknya slogan kebaikan, tetapi pada kemampuan menghentikan yang jelas salah sebelum ia menjadi budaya.
Bila Teguran Mati
Banyaknya kes rasuah yang terbongkar sebenarnya mendedahkan hakikat yang pedih iaitu ketidakberanian menegur sudah lama berakar.
Rasuah jarang bermula secara besar-besara terus. Ia bermula kecil, dibiarkan, diulang, dinormalkan hingga akhirnya jadi rangkaian. Kalau budaya menegur hidup, banyak perkara boleh dipatahkan ketika masih kecil. T
etapi bila orang dalam memilih diam atau hanya berani berbisik maka ketirisan membesar tanpa sempadan. Lambakan kes bukan sekadar statistik penguatkuasaan tetapi ia cerminan kegagalan budaya menegur yang sepatutnya menjadi benteng pertama.
Ambil contoh isu perolehan strategik seperti siasatan perolehan Tentera Darat Malaysia yang dikaitkan dengan kartel tender dan rampasan wang tunai serta emas.
Soal yang rakyat baca bukan sekadar “siapa salah”, tetapi “bagaimana ia boleh berlaku berulang kali”. Perolehan ialah rantaian proses dengan spesifikasi, penilaian, kelulusan, vendor dan pengawasan yang jelas.
Bila rantaian itu bocor, kebocoran jarang berlaku di satu titik sahaja. Ia biasanya disuburkan oleh budaya yang tidak mahu menegur dari awal.
Begitu juga isu pintu masuk negara. Pendedahan operasi membanteras amalan counter setting di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengingatkan kita bahawa kaunter bukan sekadar kaunter tetapi ia adalah benteng.
Bila benteng boleh bocor ini bukan isu kecil. Ini isu keselamatan negara. Tetapi sekali lagi, soalan yang timbul ialah di mana sistem amaran dalaman sebelum kebocoran menjadi kebiasaan?
Kes berkaitan program pemutihan atau rekalibrasi tenaga kerja pun membayangkan pola yang sama. Program yang sepatutnya membetulkan tatakelola boleh bertukar menjadi ruang transaksi jika budaya menegur mati dan budi bicara boleh “dijual”.
Maka lahirlah sinisme rakyat iaitu pembaikan ini membaiki sistem atau menambah peluang ketirisan? Malangnya itulah senario hari ini. Hampir setiap hari kita didendangkan bahawa rasuah itu jijik, musuh negara, mesti dibanteras.
Tetapi ketika saat ia benar-benar boleh dicegah iaitu dengan berkeras menegur sebelum sesuatu dimeterai, diluluskan, atau dinormalkan, ramai yang memilih jalan diam.
Bila semuanya sudah berlaku, barulah muncul segala dolak-dalih seperti “ikut arahan”, “ikut prosedur”, “saya tidak tahu”, “bukan bidang saya”, “itu keputusan atasan”. Pada ketika itu, yang tinggal bukan pencegahan, tetapi mengurus kerosakan.
Wajib Menegur
Berani menegur ketika ini bukan lagi sekadar “nilai baik”. Ia sudah menjadi kemahiran yang semakin kritikal, malangnya semakin berkurang.
Tanpa kemahiran ini, institusi kehilangan amaran awal, pembetulan jadi lewat dan yang jelas salah pun boleh berjalan seperti biasa. Menegur bukan kerja menjatuhkan. Menegur ialah kerja menjaga amanah.
Negara yang matang bukan negara yang sunyi daripada kritik, tetapi negara yang kritiknya jadi input, bukan hukuman. Sebab itu budaya menegur tidak boleh bergantung pada “orang berani” semata-mata.
Ia mesti jadi budaya kerja dengan teguran profesional dianggap rutin, bukan ancaman dan pengampu pula tidak menjadikannya modal kenaikan pangkat. Kualiti mesti dinilai pada hasil sebenar, bukan rupa bentuk laporan.
Saluran rasmi mesti cukup dipercayai sampai orang tidak perlu berbisik di lorong belakang tabir atau menggunakan kuasa viral media sosial yang kelihatan menjadi pilihan utama kini.
Apabila budaya diam dan ampu dinormalkan, institusi mungkin kelihatan “berfungsi”, tetapi hakikatnya rapuh dan mudah retak bila politik bergoncang atau skandal terbongkar.
Malaysia Madani tidak boleh dibina dengan berdiam daripada menegur. Masyarakat Madani hanya akan tercapai apabila kebenaran menjadi pasak perbincangan, bukan sekadar slogan, tetapi amalan yang tegas tanpa pilih bulu. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah pensyarah di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










