SEBILANGAN kecil ibu bapa di China kini mengamalkan kaedah luar biasa untuk menarik minat anak-anak mereka belajar dengan mencetak kertas latihan kerja rumah bersaiz ‘gergasi’, sekali gus menarik pelbagai reaksi dan perdebatan hangat di media sosial.
Pada Januari lalu, seorang ibu dari wilayah Hubei di tengah China mendedahkan dia mencetak kertas ujian bersaiz besar untuk anak lelakinya.
Katanya, dengan cara itu, anaknya itu tidak akan terlepas mana-mana soalan.
Gambar yang dimuat naik menunjukkan anak kecilnya terbaring di lantai sambil menyiapkan ujian Bahasa Cina pada kertas hampir satu meter panjang, dengan ruang jawapan sebesar tapak tangan.
Ibu tersebut memaklumkan dia mencetak dua helai kertas kerja bersaiz A0 di kedai percetakan dengan kos 25 yuan (RM14.20).
Format besar yang lazimnya digunakan untuk sepanduk dan papan iklan itu dikatakan membantu anaknya lebih seronok membuat kerja rumah dan kekal fokus.
Perkongsian tersebut menerima lebih 100,000 tanda suka di media sosial tanah besar China, malah ramai ibu bapa lain turut mencuba kaedah sama.
Seorang ibu dari wilayah Sichuan di barat daya China dikenali sebagai Wang berkata, anaknya meminta untuk membuat satu lagi pusingan kertas ujian gergasi selepas menyiapkan set pertama.
Seorang pengguna internet berseloroh menyifatkan kaedah itu sangat hebat, malah apabila penat menyiapkan latihan, kertas itu boleh dijadikan ‘selimut’.
“Sekarang anak-anak tidak boleh lagi mengadu salah menjawab kerana tidak dapat melihat soalan dengan jelas,” gurau seorang lagi warganet.
Namun, tidak semua kanak-kanak menyukai kaedah tersebut.
Seorang ibu dari wilayah Heilongjiang di utara China berkata, dia membelanjakan 60 yuan (RM34.08) untuk mencetak empat helai kertas besar, tetapi hasilnya tidak seperti diharapkan.
“Pada mulanya anak saya anggap kertas besar itu mainan. Tetapi apabila dia sedar ia kerja rumah, dia kecewa dan semakin enggan untuk belajar,” katanya kepada media tempatan Xinwenfang.
Trend kertas kerja rumah gergasi ini mencerminkan tekanan akademik yang tinggi di China serta perdebatan antara pencapaian akademik dan kesejahteraan kanak-kanak.
Sistem pendidikan China sememangnya terkenal dengan tekanan akademik yang tinggi, terutamanya berikutan tumpuan besar terhadap peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan Gaokao.
Banyak sekolah menengah mengamalkan strategi ‘lautan soalan’, dengan masa rehat yang minimum dan bebanan kerja rumah yang panjang.
Menurut data sebuah institusi pendidikan China, lebih separuh pelajar sekolah menengah menghabiskan lebih dua jam sehari untuk kerja rumah, malah ada yang belajar sehingga lewat malam melepasi pukul 10 malam.
Sejak kebelakangan ini, kerajaan China memperkenalkan beberapa dasar bagi mengurangkan beban akademik, manakala sebahagian ibu bapa mula menerima pendekatan ‘pendidikan gembira’ yang lebih menekankan kesejahteraan mental.
Satu komen daripada seorang bapa di media sosial China yang menerima sokongan meluas menyatakan kanak-kanak yang memang suka belajar akan menerima apa jua bentuk kerja rumah, tidak kira sebesar mana.
Tetapi katanya, bagi anak perempuannya yang lebih meminati bidang sukan dan seni, tugas ibu bapa adalah menghormati minat itu dan memberi mereka kebebasan untuk meneroka. -UTUSAN










