DALAM dunia yang semakin digerakkan oleh sains dan teknologi, persoalan paling mendasar untuk Malaysia hari ini bukan lagi sama ada mahu berubah atau tidak tetapi sejauh mana kita benar-benar berani melaksanakan perubahan itu secara konsisten dan berkesan?
Perubahan bukan lagi satu pilihan idealistik sebaliknya menjadi keperluan strategik untuk memastikan negara kekal relevan dan berdaya saing dalam ekonomi global yang pantas berubah.
Ketika ini, kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan ekonomi digital bukan lagi sekadar istilah dasar atau wacana akademik. Ia menjadi realiti global yang membentuk semula cara manusia bekerja, berfikir dan hidup.
Namun bagi rakyat kebanyakan, kejayaan semua agenda besar ini tidak diukur melalui pelan induk atau slogan yang indah, sebaliknya melalui kesannya terhadap kehidupan seharian.
Rakyat ingin melihat bagaimana teknologi mampu membuka peluang pekerjaan yang lebih baik, membantu mengekang kos sara hidup dan menjamin masa hadapan anak-anak yang lebih terjamin.
Tahun ini muncul sebagai titik refleksi yang penting yang menjadi ruang untuk menilai sama ada hala tuju pembangunan sains dan teknologi negara benar-benar berada pada landasan tepat atau sekadar bergerak indah di atas kertas.
Sepanjang tahun lalu, landskap sains, teknologi dan inovasi negara menunjukkan kemajuan yang lebih tersusun dan matang. Pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE) memperlihatkan usaha yang lebih serius untuk menyatukan pelbagai inisiatif yang sebelum ini bergerak secara terpisah.
Pendekatan yang digerakkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menekankan integrasi antara STIE. Matlamatnya jelas, memastikan setiap pelaburan penyelidikan dan inovasi membawa manfaat nyata kepada rakyat dan industri.
Melalui pendekatan ini, Malaysia mula beralih secara berperingkat daripada sekadar pengguna teknologi kepada sebuah negara yang berupaya mencipta dan membangunkan teknologi sendiri. Namun persoalan kritikal tetap perlu diajukan, sejauh mana integrasi ini benar-benar berfungsi di peringkat pelaksanaan dan bukan sekadar kelihatan kemas dalam dokumen dasar?
Usaha mengukuhkan ekosistem Penyelidikan dan Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) menjadi antara teras utama pencapaian 2025. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan menyalurkan lebih RM1.3 bilion bagi menyokong syarikat pemula dan perusahaan kecil serta sederhana berasaskan teknologi.
Inisiatif ini diperkukuh pada 2025 melalui pengenalan Malaysia Science Endowment (MSE) dan Geran STI MADANI yang memberi tumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Pendekatan ini penting kerana penyelidikan yang baik tidak seharusnya terhenti di makmal semata-mata. Ia perlu sampai ke pasaran, mencipta nilai ekonomi dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Namun realitinya, cabaran masih ketara apabila sebahagian inovasi tempatan berhadapan kesukaran untuk menembusi pasaran. Kekangan pembiayaan susulan, keterbatasan rangkaian industri serta kelemahan strategi pengkomersialan terus menjadi halangan yang perlu ditangani secara lebih sistemik.
Dalam sektor tenaga bersih, kemajuan ekonomi hidrogen boleh dijadikan contoh bagaimana agenda kelestarian digabungkan dengan peluang pertumbuhan baharu. Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) mencerminkan kesediaan negara untuk meneroka sumber tenaga masa hadapan yang lebih bersih dan mampan.
Anggaran potensi pendapatan sehingga RM12 bilion menjelang 2030 menggambarkan peluang sebenar untuk membangunkan industri baharu, mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga konvensional.
Projek stesen pengisian hidrogen mudah alih serta penggunaan kenderaan hidrogen di peringkat kerajaan memberi isyarat bahawa teknologi ini semakin menghampiri fasa penerapan praktikal. Namun kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan negara untuk menskalakan teknologi ini melangkaui projek perintis. Tanpa perancangan rantaian bekalan yang berdaya saing, kos yang munasabah serta sokongan pasaran yang konsisten, risiko untuk kekal di peringkat demonstrasi tetap wujud.
Pada masa sama, AI muncul sebagai pemacu utama transformasi industri negara. Sasaran sumbangan AI kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM60 bilion menuntut pendekatan yang bukan sahaja agresif dari sudut inovasi tetapi juga berhemah dari sudut tadbir urus. Oleh itu, penekanan terhadap garis panduan etika, tadbir urus data dan pelan hala tuju AI negara menjadi langkah penting untuk memastikan teknologi ini dimanfaatkan secara selamat, adil dan inklusif.
Di peringkat serantau, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dimanfaatkan untuk memperkukuh ekosistem syarikat pemula di Asia Tenggara. Peningkatan jumlah syarikat pemula berdaftar serta penganjuran persidangan antarabangsa mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia sebagai hab inovasi.
Namun kuantiti semata-mata tidak mencukupi. Tumpuan perlu diberikan kepada kualiti, kebolehan berkembang secara mampan serta keupayaan menembusi pasaran serantau dan global.

KPI KERAJAAN
Fokus kerajaan tahun ini untuk menskalakan pencapaian sedia ada agar impaknya lebih besar dan lebih dirasai rakyat. Peruntukan dalam Belanjawan 2026 menunjukkan keutamaan baharu apabila dana pembangunan disalurkan kepada projek berimpak tinggi, termasuk pembangunan Sovereign AI Cloud yang melibatkan isu kedaulatan data dan keselamatan negara.
Pada masa sama, sektor angkasa dan bioteknologi dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu. Pembangunan tapak pelancaran angkasa serta penglibatan sektor swasta dalam teknologi satelit membuka ruang kepada industri bernilai tinggi, manakala fokus kepada vaksin dan bioekonomi menzahirkan kesedaran bahawa keselamatan kesihatan perlu dibina melalui keupayaan sains tempatan.
Namun di sebalik semua potensi ini, cabaran asas seperti pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembiayaan penyelidikan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi baharu tidak boleh dipandang ringan.
Usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan memperkenalkan model pembiayaan alternatif seperti MSE merupakan langkah penting, tetapi keberkesanannya bergantung kepada penyelarasan dasar dan disiplin pelaksanaan yang kukuh.
Kesimpulannya, pencapaian sepanjang 2025 menyediakan asas yang lebih kukuh untuk Malaysia melangkah sebagai negara pencipta teknologi. Namun asas sahaja tidak menjamin kejayaan.
2026 menjadi fasa penentu untuk membuktikan strategi yang dirancang mampu diterjemahkan kepada impak ekonomi sebenar, pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat.
Dengan kesinambungan dasar, keberanian melaksana dan sokongan masyarakat, Malaysia berpeluang membina masa hadapan berasaskan ilmu, inovasi dan kemajuan yang benar-benar inklusif.-UTUSAN
DATUK Dr. Mohammad Yusof Apdal ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).










