MELAKA: Kebakaran melibatkan kawasan belukar serta longgokan kayu dan tayar terpakai di Kota Syahbandar di sini sejak tengah hari tadi merebak sehingga meliputi kawasan seluas kira-kira 3.2 hektar.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, seramai 26 anggota dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran berkenaan.
Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, BBP Tangga Batu, BBP Padang Temu serta BBP Bukit Katil.
“Panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.28 tengah hari dan setiba pasukan di lokasi, didapati kebakaran melibatkan longgokan kayu serta tayar terpakai sebelum api merebak ke kawasan belukar berhampiran.
“Anggaran keluasan kebakaran ketika ini sekitar lapan ekar dan operasi pemadaman dijalankan segera bagi mengawal kemerebakan api,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran tersebut berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4.59 petang dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Tambahnya, sehingga pukul 6.50 petang, pasukan bomba masih berada di lokasi bagi memastikan api dipadam sepenuhnya serta keadaan kembali selamat. – UTUSAN










