GELOMBANG pendakwaan terhadap pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencetuskan kejutan besar kepada masyarakat apabila institusi yang sinonim ketegasan, disiplin dan pengorbanan diuji skandal rasuah serta pecah amanah.
Ketegasan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebagaimana ditegaskan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, memperlihatkan prinsip keadilan ditegakkan tanpa mengira pangkat atau sejarah perkhidmatan.
Titah tegas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menyifatkan perasuah sebagai musuh negara, menjadikan isu ini bukan sekadar kes mahkamah.
Seterusnya disusuli pendirian kerajaan yang dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak sebarang kompromi terhadap rasuah.
Episod tersebut berubah menjadi peringatan nasional tentang amanah, kuasa dan akibat pengkhianatan terhadap tanggungjawab.
PANGKAT MENJADI UJIAN
Islam tidak menolak kekuasaan atau jawatan. Syariat sebaliknya meletakkan jawatan sebagai amanah berat yang bakal dipersoalkan. Setiap kenaikan pangkat membawa pertambahan hisab.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Islam meletakkan amanah sebagai teras kepimpinan. Al-Quran menegaskan larangan keras terhadap pengkhianatan amanah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah melakukan pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul, serta jangan mengkhianati amanah yang dipercayakan”. (Surah al-Anfal: 27)
Kepimpinan ketenteraan memikul amanah luar biasa kerana berkait keselamatan negara, nyawa anggota serta harta awam. Apabila amanah tersebut dikhianati melalui rasuah perolehan atau penyelewengan dana kebajikan, maka kerosakan yang terhasil bukan kecil sifatnya.
Nabi SAW turut memberi peringatan tegas melalui sabda yang bermaksud: “Tiada iman bagi orang yang tidak amanah”. (Riwayat Ahmad)
Hadis tersebut menzahirkan hubungan langsung antara integriti moral dan kesempurnaan iman. Kekuasaan tanpa amanah melahirkan kepimpinan rapuh, manakala institusi tanpa integriti membuka ruang kehancuran dari sudut dalaman.
Kejatuhan moral pimpinan memberi kesan domino terhadap kepercayaan, disiplin dan keberkatan organisasi.
DOSA SENYAP YANG MENGHANCURKAN
Al-Quran menegaskan larangan keras terhadap perbuatan memakan harta secara batil. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 188)
Ayat tersebut bukan sekadar peringatan undang-undang, bahkan amaran spiritual. Rasuah digambarkan sebagai dosa tersembunyi yang merosakkan jiwa sebelum menghancurkan sistem.
Ulama menjelaskan rasuah menghilangkan keberkatan rezeki, menutup pintu doa dan melemahkan keberanian menegakkan kebenaran.
Kes melibatkan dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) menambahkan kesedihan kerana harta tersebut diperuntukkan bagi kebajikan anggota bawahan dan keluarga. Penyalahgunaan dana kebajikan bukan sahaja pelanggaran undang-undang, bahkan pengkhianatan terhadap golongan yang telah berkorban mempertaruhkan nyawa demi negara.
GHULUL PENGKHIANATAN DITANGGUNG HINGGA AKHIRAT
Islam mengenali rasuah sebagai bentuk ghulul, iaitu pengkhianatan terhadap harta awam. Ancaman terhadap pelaku ghulul disebut secara jelas dalam al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang berkhianat, maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu, kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya”. (Surah Ali ‘Imran: 161)
Ayat ini mengandungi gambaran kehinaan akhirat, apabila harta haram menjadi beban yang dipikul di hadapan seluruh makhluk. Gambaran tersebut cukup untuk menggoncang hati yang masih hidup imannya.
Pengkhianatan amanah berpunca daripada cinta dunia yang tidak terkawal. Apabila dunia diletakkan lebih tinggi daripada takwa, maka jawatan berubah menjadi alat, bukan ibadah.

HILANG KEBERKATAN NEGARA
Sejarah membuktikan kejatuhan banyak tamadun bermula daripada kerosakan dalaman. Kezaliman dan rasuah melemahkan negara dari dalam sebelum musuh luar bertindak. Hakikat ini selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (Surah al-Ra‘d: 11)
Ayat ini membawa mesej muhasabah kolektif. Rasuah bukan sekadar kesalahan individu tetapi simptom kepada kelemahan sistem nilai. Pencegahan rasuah menuntut pembaikan hati, bukan hanya penguatkuasaan undang-undang.
TAUBAT DAN PEMBINAAN INTEGRITI
Islam sentiasa membuka pintu taubat. Namun taubat sebenar menuntut pengakuan kesalahan, pemulangan hak serta azam memperbaiki kerosakan. Pendakwaan terhadap pegawai tinggi perlu dilihat sebagai usaha membersihkan institusi, bukan menjatuhkannya.
Pembinaan integriti ketenteraan memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi pengawasan telus, pendidikan kerohanian dan budaya akauntabiliti.
Jawatan perlu dihayati sebagai ladang pahala, bukan laluan memperkaya diri sementara ketegasan undang-undang pula mesti disertai keteguhan iman.
Demikianlah, kes rasuah ini merupakan peringatan tegas dan keras bahawa musuh sebenar negara bukan sahaja berada di sempadan tetapi juga tersembunyi dalam jiwa yang rakus.
Islam menegaskan kekuatan sebenar terletak pada amanah dan takwa, bukan senjata semata-mata.
Pemulihan maruah institusi ketenteraan menuntut keberanian menegakkan kebenaran, keikhlasan bertaubat dan kesediaan menjadikan nilai Islam sebagai teras kepimpinan.
Negara akan terus terpelihara apabila amanah dijunjung, rasuah diperangi dan jawatan ditunaikan sebagai ibadah.-UTUSAN
DR. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
DR. Nik Airin Aqmar Nik Azhar ialah Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.










