Pihak tertentu manipulasi undang-undang negara?

Pihak tertentu manipulasi undang-undang negara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KEPADA semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam, ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara. Jika awak menyalah guna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah, awak adalah pengkhianat negara.” – Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Yang Kelima Belas.

Titah Sultan Ibrahim seharusnya dilihat sebagai inspirasi dan garis panduan dalam menentukan hala tuju perbahasan di Parlimen dalam sidang kali ini, selain memfokuskan perbahasan mengenai isu rasuah.

Menteri Komunikasi sebelum ini mengesahkan terdapat empat Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibentangkan di Parlimen dalam minggu ini. RUU yang dimaksudkan adalah

Ombudsman, Kebebasan Maklumat (FOI) dan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi merungkai isu pemisahan jawatan Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.

Kesemua RUU ini dianggarkan bakal mengundang perdebatan hangat khususnya RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana dijangkakan isi kandungannya nanti turut mencerminkan realiti semasa politik negara.

Meskipun syor bagi pemisahan bidang kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara sudah dibuat lama sejak 2019 lagi, namun realiti semasa negara semakin mendesak keperluan untuk merealisasikan cadangan ini dalam kadar segera.

Pemisahan kuasa ini adalah mustahak untuk menghapuskan sebarang konflik kepentingan dan mengurangkan kuasa berlebihan yang diletakkan di tangan Peguam Negara. Ini lebih-lebih lagi setelah mengambil kira peruntukan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan di mana Peguam Negara dipertanggungjawab menasihati Agong  dan Jemaah Menteri mengenai apa-apa isu perundangan selain mempunyai budi bicara luas untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding jenayah.

Peguam Negara mungkin mendapati dirinya berada dalam kedudukan konflik kepentingan dari semasa ke semasa, apabila kepentingan anak guamnya, yakni kerajaan, bertentangan dengan kepentingan awam. 

Situasi sebegini cenderung timbul apabila terdapat kes yang mana ahli politik didakwa atas kesalahan jenayah.

Persoalan awam akan berkisar adakah dakwaan ke atas ahli politik berkenaan merupakan suatu pendakwaan terpilih yang bermotifkan kepentingan politik dan bukannya berlandaskan kepentingan awam?

Sebagai contoh, pada 2020, Tan Sri Shahrir Ab. Samad didakwa atas dua pertuduhan di mahkamah. Pertuduhan pertama adalah bagi kesalahan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Manakala bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Setelah melalui proses perbicaraan penuh, mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan.  Beliau akhirnya dilepaskan dan dibebaskan mahkamah.

Pada 2024, beliau menerbitkan sebuah buku menggariskan perjalanan prosidingnya di mahkamah dan menegaskan pertuduhan yang dihadapkan hanyalah pendakwaan terpilih bermotifkan politik.

Hal yang sama turut dikatakan berlaku dalam pertuduhan terhadap Datuk Seri Ahmad Maslan.

 

 

TIDAK ADIL

Dalam masa sama, terdapat beberapa kes yang sepatutnya dibawa pertuduhan ke mahkamah namun akhirnya dibiarkan sepi tanpa penghujung.

Sebagai contoh terdapat beberapa insiden melibatkan siasatan jenayah ke atas anak-anak ahli politik namun akhirnya tiada pendakwaan yang diteruskan. Perkara ini bukan saja menimbulkan seribu satu tanda tanya kepada orang awam yang memerhati tetapi juga mencairkan kredibiliti institusi Peguam Negara keran dilihat tidak saksama dalam memulakan prosiding jenayah.

Tidak guna negara meuar-uarkan dasar reformasi institusi dan menubuhkan segala jenis institusi baharu jika kerangka sedia ada berterusan membuka ruang untuk dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang berkuasa besar di dalam negara. 

Hal sebegini memberikan persepsi buruk seolah-olah ada pihak yang hidup di luar kerangka perundangan sedangkan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kesamarataan tanpa mengenal status dan pengaruh seseorang.

Kerangka perundangan yang ada dibentuk bagi memastikan nilai nyawa dan kehormatan setiap rakyat Malaysia sama-sama dilindungi melalui penguatkuasaan undang-undang yang adil dan saksama. 

Tanpa jaminan ini, hidup rakyat marhaen bagai kayu lempung, ditebuk kumbang tembus-menembus kerana akhirnya hanya rakyat tanpa pangkat dan kuasa yang terpaksa mematuhi undang-undang. Sedangkan, orang berkuasa boleh bebas melanggar peruntukan yang digubal hanya kerana mereka kenal dengan orang yang berkuasa.

Pindaan undang-undang dalam hal pemisahan jawatan Pendakwa Raya dan Peguam Negara adalah amat perlu dan mustahak bagi mengembalikan nilai harmoni dalam penguatkuasaan undang-undang negara. -UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×