Kolaborasi agung: Perpaduan atau helah rebut kuasa?

Kolaborasi agung: Perpaduan atau helah rebut kuasa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOKUS Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 tertumpu seruan presiden parti untuk mewujudkan musyawarah nasional dan kolaborasi agung.

Inisiatif ini bertujuan menyeru semua kelompok dan firqah Melayu-Islam sama ada parti politik mahupun pemimpin Melayu-Islam bersatu dalam satu payung besar.

Inisiatif ini masih bersifat kerjasama bukan politik bagi mencari titik temu ke arah penyatuan seterusnya. Bagi mengurangkan suhu politik, Presiden UMNO menegaskan kolaborasi agung tidak sama sekali menggugat Kerajaan Perpaduan dan tidak berniat untuk ‘menebuk atap’.

Secara prinsipnya, orang Melayu mesti menyambut baik usaha penyatuan umat Melayu-Islam. Kolaborasi agung tidak sepatutnya menjadi ‘muslihat politik’ tetapi atas niat ikhlas untuk menyatupadukan bangsa Melayu-Islam.

Niat ikhlas ini mesti dibuktikan melalui pelawaan kepada Pas kerana faktanya UMNO dan parti Islam itu ialah parti Melayu-Islam terbesar negara.

Perpecahan dan pertembungan politik yang melarat sehingga perpecahan masyarakat diperingkat akar umbi selama ini adalah kerana pertentangan politik UMNO dan Pas.

Selepas UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bersama DAP menyebabkan Muafakat Nasional (MN) pula terhenti buat sementara waktu atas pelbagai faktor.

Landskap politik Melayu menunjukkan perubahan ketara. Dalam tempoh ini, sebahagian besar orang Melayu mula cenderung kepada kesatuan baharu di bawah payung Perikatan Nasional (PN).

Ini terbukti apabila empat buah negeri Melayu iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dikuasai PN yang parti utamanya ialah Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah di Terengganu, PN menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen. Ini menunjukkan orang Melayu mendapat alternatif baharu sebagai tempat bertaut selain daripada UMNO.

Walau bagaimanapun, usaha UMNO ini perlu dilihat secara positif kerana merupakan parti kerajaan. Parti kerajaan sudah tentu mempunyai lebih legitimasi untuk menggerakkan suatu inisiatif perpaduan yang tuntas kerana mempunyai kuasa dan dana besar.

Namun, harapan orang Melayu juga besar kerana mahu melihat penyatuan ini benar-benar membuahkan hasil kepada menjaga kepentingan Melayu-Islam.

Kekuatan bermakna tiada lagi ejekan, merendah-rendahkan orang Melayu-Islam dan tiada polisi kerajaan yang bertentangan dengan asas doktrin Perlembagaan Malaysia iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan, kedaulatan raja-raja Melayu dan keistimewaan Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak.

Secara peribadi, harapan saya jika kolaborasi agung ini terjadi dalam masa terdekat suatu desakan mesti dimulakan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menghantar anak-anak mereka ke sekolah beraliran nasional.

Kaum Tionghua dan India mesti dipujuk dan mengembalikan keyakinan mereka untuk ke sekolah beraliran nasional. Bahasa Mandarin, Tamil dan juga pengajian Tahfiz mesti diajar di sekolah aliran nasional. Semua kaum mesti belajar di bawah bumbung sekolah yang sama. Mereka bermain dan berinteraksi bersama.

Untuk itu, kerajaan perlu meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah aliran nasional. Saya pasti jika orang Melayu-Islam kuat dan bersatu padu , kaum-kaum lain sudah tentu akan hormat dan mengembalikan keyakinan mereka untuk bersama dalam hanya satu aliran pendidikan nasional.

Dalam nafas yang sama, saya juga khuatir jika seruan ini hanyalah ‘muslihat politik’. Ini mesti dibuktikan yang seruan ini bukanlah ‘projek elit’ bagi tujuan menyusun ‘kerusi’.

Jika perpaduan hanya bermaksud ‘jangan gaduh supaya mudah memerintah’, maka ia bukan perpaduan tetapi strategi pengawalan.

Perpaduan yang sebenar mesti melahirkan tiga perkara iaitu kejelasan dasar, pembinaan institusi dan pemulihan keyakinan rakyat.

Tanpa tiga perkara ini, perpaduan akan dilihat sebagai transaksi politik yang sementara dan rakyat, khususnya generasi muda, akan terus menjauh daripada politik arus perdana.

Seruan kolaborasi agung mengingatkan saya kepada peristiwa Ali-Muawiyah yang mengajar kita tentang konflik tuntutan keadilan dan tuntutan kestabilan.

Sayidina Ali membawa cita-cita menegakkan kebenaran dan tertib pemerintahan sementara Muawiyah pula tampil dengan tuntutan yang dianggapnya perlu bagi menutup luka politik dan memulihkan ketenteraman.

Dalam sejarah, apabila dua tuntutan ini tidak disusun dengan hikmah, maka umat terheret ke medan perpecahan yang panjang.

Dalam konteks perpaduan Melayu-Islam hari ini, perkara yang sama boleh berlaku sekiranya ada pihak menuntut pembaharuan dan pembersihan atau menuntut kestabilan dan ‘realpolitik’ sebagai jalan selamat.

Persoalannya adakah kolaborasi ini mampu menyatukan kedua-dua tuntutan ini atau sekadar menutup masalah di bawah karpet kuasa?

Kita harus membezakan antara sulh (perdamaian yang bermaruah) dengan kompromi (perdamaian yang menggadai prinsip). Sulh ialah jalan yang mengembalikan ketenteraman tanpa mengorbankan kebenaran sementara kompromi pula ialah jalan mudah yang menangguhkan konflik tetapi menyuburkan barah.

Politik matang bukan politik menafikan perbezaan tetapi yang mengurus perbezaan dengan adab.

Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, krisis umat Islam bukan bermula dengan kurangnya teknologi atau kekuatan material tetapi bermula dengan hilangnya adab yakni hilangnya keupayaan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apabila adab hilang, politik berubah menjadi permainan dendam, propaganda dan pemujaan individu.

Kolaborasi agung ini diharapkan tidak berakhir seperti apa yang berlaku dalam sejarah Islam yang mana ‘penyelesaian’ dan ‘perdamaian’ antara Ali dan Muawiyah melahirkan kekeliruan baharu.

Episod tahkim (arbitrasi) dalam sejarah awal Islam menunjukkan proses damai boleh dimanipulasi, disalah tafsir atau dijadikan alat bagi pihak yang lebih licik. Bahkan daripada kekeliruan itu, lahir pula kelompok ekstrem yang menghalalkan kekerasan atas nama kebenaran.

Kolaborasi agung boleh menjadi jalan penyatuan tetapi juga boleh menjadi pintu kepada kekecewaan rakyat jika sekadar persefahaman tanpa agenda yang tuntas.

 

AGENDA TUNTAS

Agenda tuntas dimaksudkan ialah desakan kepada kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan nasional yang bermutu, ekonomi adil dan integriti tanpa memilih bulu. Jika ini dilaksanakan maka perpaduan itu akan menjadi legasi.

Kolaborasi agung hanya layak dipanggil ‘agung’ jika sanggup memikul beban besar membetulkan kerosakan institusi, menamatkan budaya rasuah dan kronisme, mengangkat merit yang beradab serta mengembalikan wibawa undang-undang.

Jika tidak, hanya agung pada nama tetapi kecil pada makna. Perpaduan Melayu juga tidak boleh menjadi alasan untuk menindas kepelbagaian sebaliknya mesti menjadi tiang menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat tanpa mengira kaum kerana negara yang stabil tidak lahir daripada dominasi sempit tetapi daripada keadilan yang dirasakan.

Jika UMNO benar-benar mengangkat perpaduan Melayu-Islam dan kolaborasi agung sebagai jalan baharu, maka ujian utamanya bukan pada sidang media tetapi tindakan selepasnya.-UTUSAN

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×