tarik minat pembaca pelbagai lapisan umur

Portal Muslimah tarik minat pembaca pelbagai lapisan umur

PORTAL Muslimah boleh dilayari di www.muslimah.com.my.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelancaran platform digital baharu, portal Muslimah mengetengahkan pelbagai isu termasuk isu semasa, idola wanita, kecantikan, fesyen serta perspektif muslimah glo­bal mendapat sambutan positif daripada golongan wanita pelbagai peringkat umur.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati platform berkenaan menarik minat golongan wa­nita muda hingga yang berusia melihatnya sebagai ruang rujukan sehenti untuk mengikuti perkembangan isu berkaitan muslimah.

Seorang pekerja swasta, Dalila Amair, 24, berkata, kewujudan platform tersebut memudahkan wanita bekerja sepertinya mendapatkan bahan bacaan tanpa perlu menelusuri pelbagai medium media sosial.

“Sebagai wanita bekerja, untuk saya mencari sesuatu isu di media sosial sangat sukar kerana isu viral lebih kerap muncul.

“Dengan adanya platform Muslimah ini, saya boleh fokus kepada satu portal sahaja untuk cari isu yang menarik untuk dibaca setiap hari selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, suri rumah, Aklima Ismail, 52 berkata, platform berkenaan membantu golongan wanita, khususnya ibu dan suri rumah sepertinya untuk terus mengikuti isu semasa membabitkan wanita.

“Portal Muslimah ini membantu saya untuk sentiasa peka dengan isu semasa wanita dan bagi saya inisiatif ini juga bagus untuk golongan wanita mendapatkan tips kecantikan dan fesyen.

“Saya turut berkongsi platform ini dengan anak-anak saya untuk mereka lihat tips kesihatan dan kecantikan seperti cara kekal awet muda dan punca masalah perut berlemak,” katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Nur Farah Fazmi Mohd. Helmi, 27 berkata, kewujudan portal Muslimah memberi alternatif yang lebih bermanfaat kepada golongan wanita berbanding lambakan portal yang terlalu menumpukan isu kontroversi dan viral.

“Sekarang ini terlalu banyak portal yang mengetengahkan isu kontroversi dan viral. Dengan adanya Muslimah ini, sekurang-kurangnya golongan wanita dapat timba ilmu yang lebih bermanfaat.

“Selain itu, segmen muslimah global membolehkan kita tahu bagaimana wanita muslimah di luar negara mempamerkan diri serta isu yang mereka bawa,” katanya.

Dalam pada itu, seorang mahasiswi, Farah Nor Hidayah, 24, berpandangan platform tersebut mempunyai potensi besar sekiranya kandungan yang dibawakan kekal relevan dengan keperluan muslimah.

“Ia nampak menarik, tetapi akan jadi lebih baik jika isu yang dibincangkan benar-benar berkaitan muslimah dan bukan sekadar kontroversi. Itu boleh menjadi kelebihan kerana sekarang sudah banyak podcast, jadi platform ini sepatutnya tampil berbeza,” katanya.

Sambutan positif itu mencerminkan keperluan terhadap sebuah platform yang mampu menjadi medium perkongsian isu, inspirasi dan gaya hidup muslimah dalam satu ruang yang tersusun dan mudah diakses oleh pengguna.

Portal Muslimah kini boleh diakses dengan percuma di www.muslimah.com.my dengan menawarkan pelbagai segmen seperti isu semasa, idola, fesyen, kecantikan dan muslimah global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×