PETALING JAYA: AirBorneo dan ATR mengumumkan satu perkongsian strategik untuk memodenkan armada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) Malaysia, dengan mengesahkan tempahan tetap bagi lapan pesawat ATR.
AirBornea dalam kenyataan berkata, perjanjian tersebut merangkumi lima pesawat ATR 72-600 dan tiga ATR 42-600, selain hak pembelian bagi empat pesawat tambahan yang dijadualkan dihantar antara 2027 hingga 2029.
Katanya, perkembangan ini menandakan satu pencapaian penting dalam transformasi AirBorneo sebagai syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak.
Tambahnya, ia juga sejajar dengan pengambilalihan tanggungjawab ke atas rangkaian RAS, iaitu perkhidmatan awam penting yang menghubungkan komuniti terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Sarawak, Sabah dan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian berkata, perkongsian dengan ATR ini merupakan satu pencapaian utama dalam komitmen AirBorneo untuk menyediakan perkhidmatan udara yang boleh dipercayai, selamat dan moden kepada komuniti yang syarikat berkhidmat.
“Armada ATR-600 baharu kami akan memperkukuh rangkaian perkhidmatan udara luar bandar dengan menawarkan keselesaan yang lebih baik, kecekapan yang lebih tinggi serta keupayaan operasi yang diperlukan bagi meningkatkan keterhubungan serantau di Malaysia Timur.
“Platform ATR telah terbukti paling sesuai dengan persekitaran operasi kami dan peningkatan kepada siri 600 memastikan kami dapat terus menyediakan keterhubungan penting sambil mempersiapkan AirBorneo untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ATR, Nathalie Tarnaud Laude berkata, keputusan AirBorneo untuk melabur dalam kedua-dua ATR 72-600 dan ATR 42-600 mencerminkan kekuatan dan kepelbagaian keluarga pesawat ATR serta kesesuaiannya untuk operasi serantau yang mencabar.
“ATR 42-600, dengan kecekapan luar biasa dan kos operasi yang rendah, amat sesuai untuk laluan serantau berkepadatan rendah, manakala ATR 72-600 menyediakan kapasiti tambahan di laluan yang memerlukannya.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan AirBorneo dalam memperkukuh keterhubungan udara yang boleh dipercayai di seluruh Borneo dan rantau yang lebih luas,” jelasnya.
Dimuktamadkan pada akhir 2025, tempahan ini menyokong strategi pembaharuan armada jangka panjang AirBorneo susulan pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Sarawak pada 2025 dan penjenamaan semulanya sebagai AirBorneo.
Ketika ini, AirBorneo mengendalikan lapan pesawat ATR 72-500 yang diwarisi daripada MASwings dan pesawat ATR generasi baharu siri 600 akan menjadi tulang belakang kepada operasi RAS yang lebih cekap dan berdaya tahan di Malaysia Timur.
Perjanjian ini turut merangkumi empat hak pembelian, yang menyediakan pilihan pertumbuhan masa hadapan di luar rangkaian RAS, termasuk potensi pengembangan serantau dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA). – UTUSAN










