Utamakan pelajar ‘setia’ dengan sistem pendidikan negara

Utamakan pelajar ‘setia’ dengan sistem pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYARAT pendidikan wajib mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikenakan kepada pelajar Malaysia di institusi pendidikan swasta dalam negara, adalah langkah paling tepat.

Ini kerana kepentingannya untuk proses pembentukan bangsa, selain sebagai mata pelajaran akademik utama.

Dengan syarat wajib ini, ia bukan sahaja perlu menggunakan kurikulum kebangsaan tetapi menjadi subjek wajib lulus.

Dalam hal ini, penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta pemahaman yang baik tentang sejarah penubuhan negara merupakan kewajipan nasional. Namun, keupayaan ini didapati kurang, malah dalam sesetengah keadaan hampir tidak wujud, terutama bagi anak bangsa yang tidak melalui sistem pendidikan kerajaan.

Dengan kekurangan itu, rata-rata lepasan institusi pendidikan swasta tidak dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat terbanyak yang belajar di institusi pendidikan kerajaan. Dengan kata lain, mereka ini terpisah kerana berbeza dengan yang cekap berbahasa Melayu dan memahami sejarah Malaysia dengan baik.

Dalam pada ini, golongan ini didapati tidak dapat menyumbang dengan baik dalam menyerlahkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat. Ini kerana pengetahuan mereka terbatas untuk fasih dalam bahasa Melayu. Mereka juga bersifat nasionalistik kerana tidak mengetahui sejarah tanah air.

Sebenarnya dua mata pelajaran ini bukan sahaja baik sekali, juga afdal untuk menjayakan proses pembentukan bangsa. Ini kerana anak bangsa kita pasti bersatu setelah mengidentifikasikan diri dengan bahasa dan sejarah negara yang dikongsi bersama.

Dalam usaha mengiktiraf apa-apa sistem pendidikan, khususnya yang berada di luar sistem sedia ada negara, pengiktirafan tersebut tidak boleh dibuat semata-mata dengan menetapkan syarat sahaja tetapi perlu dinilai secara menyeluruh.

Ini kerana ia bukan sahaja sangat tidak adil kepada anak bangsa yang memilih untuk bersama sistem sedia ada, sama ada secara separa atau sepenuhnya tetapi mereka inilah yang sebenar-benarnya menjayakan sistem kita. Oleh itu, mereka wajib diutamakan.

Apabila pengiktirafan hanya bersifat bersyarat, ia biasanya diwujudkan secara tergesa-gesa, tidak sistematik dan tidak selari dengan perancangan asal, malah sering bersifat spontan kerana didorong keperluan peperiksaan semata-mata.

Keadaan ini menjadikan pendekatan tersebut bersifat instrumental, iaitu sekadar untuk memenuhi syarat yang diwajibkan, sedangkan syarat itu sendiri hanyalah ditambah kemudian dan tidak menjadi keperluan sejak awal.

Sistem pendidikan di luar kerangka sedia ada, khususnya yang sejak awal enggan bergabung, tidak wajar diterima hanya melalui syarat semata-mata.

Sistem yang tidak menerima asas pendidikan negara tidak sepatutnya diberi pengiktirafan. Apabila bahasa Inggeris mula digunakan bersama dalam sistem sedia ada, tuntutan pihak yang sebelum ini menolak bahasa Melayu semakin ketara dan berubah menjadi desakan apabila tidak dilayan.

Ini berlaku pada isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang mahu ‘menyondol’ masuk ke dalam sistem sedia ada secara agresif dan angkuh. Ini dapat dilihat antaranya dengan mengaitkan sijil UEC dengan keberadaan sijil A-Level.

 

MATA pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penting untuk membentuk identiti dan perpaduan bangsa.

 

SILAP

Sebenarnya pengiktirafan sijil A-Level untuk kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) adalah kesilapan. Ini kerana sistem luar seperti UEC, yakni tidak tertakluk pun kepada Akta Pendidikan 1996. Antaranya tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum kebangsaan untuk pendidikannya.

Sebenarnya, tempat di IPTA sangat terhad. Setiap tahun, ramai pelajar yang layak tidak dapat mengikuti kursus kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan.

Tempat terhad di IPTA sepatutnya diberikan terlebih dahulu kepada mereka yang setia kepada sistem sedia ada. Sijil luar seperti UEC tidak boleh diiktiraf sama seperti A-Level kerana ia tidak menyokong sistem yang sedia ada.

Sistem luar, khususnya sijil A-Level tidak perlu disajikan secara rasmi pada menu kemasukan ke IPTA. Ia umpama membuka pintu pagar ampangan air yang antaranya memperlihat bagaimana UEC juga mahu pengiktirafan sedemikian.

Sijil A-Level hanya dipertimbangkan bagi pelajar yang mengikuti ibu bapa bertugas di luar negara, seperti staf kedutaan. Ia tidak boleh diiktiraf bagi mereka yang sengaja tidak mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), begitu juga O-Level bagi yang tidak mengambil SPM.

Pengiktirafan sijil A-Level tidak boleh dijadikan alasan untuk mengiktiraf sijil UEC, walaupun A-Level lebih meluas digunakan. Kedua-duanya adalah sistem luar dan bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996, jadi tidak boleh dimasukkan ke dalam sistem pendidikan sedia ada. UEC sebaiknya terus wujud secara swasta seperti sekarang tanpa pengiktirafan rasmi.

Sebenarnya, dari awal lagi tiada niat untuk mengiktiraf sijil UEC. Sepatutnya perkara ini diberitahu dengan jelas bahawa sijil ini tidak boleh diiktiraf, walaupun bersedia memenuhi syarat, kerana tidak termasuk dalam sistem pendidikan sedia ada.

Dalam hal ini, apabila didesak, jawapannya ialah ketegasan perlu dijaga dengan hanya SPM dan STPM diiktiraf untuk masuk ke sistem pendidikan sedia ada. Sijil UEC tidak boleh diiktiraf dan isu ini harus dihentikan segera melalui arahan perundangan, supaya tidak timbul lagi desakan yang boleh memecah belahkan negara.

Sebenarnya, isu pengiktirafan UEC tidak patut dilayan sejak awal sebaliknya diberi ketegasan bahawa tiada perbincangan wajar dibuat. Sayangnya, yang berlaku diberi harapan palsu dengan syarat perlu dipenuhi dan selepas itu kajian lanjut terus dijalankan, termasuk kajian tuntas oleh agensi kelayakan.

Semua usaha ini seperti menjerat diri kerana seolah-olah memberi peluang untuk UEC diiktiraf, sedangkan sejak awal memang tiada niat untuk mengiktirafnya.

Sebenarnya apa-apa sijil dari sistem luar boleh dengan mudahnya ditolak atas alasan tidak memenuhi aspirasi nasional tertentu. Namun ia mahu dilayan dengan diberikan harapan yang sebenarnya palsu. Ini sudah tentu memberi gambaran tidak profesional, antaranya cerminan tabii yang negatif kepada kerajaan.

Dengan ini, hanya kerangka sedia ada yang harus digunakan, manakala sistem luar tidak boleh diterima kerana mengkhianati dan menzalimi anak bangsa yang setia kepada ‘cara’ negara.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×