KONSEP satu negara, satu bangsa dan satu negara, pelbagai bangsa mempunyai hubungan rapat dengan kestabilan sesebuah negara khususnya dalam aspek sosiopolitik.
Pada umumnya satu negara, satu bangsa lebih baik dalam membentuk kestabilan sosiopolitik berbanding negara bersifat satu negara, pelbagai bangsa. Ini kerana masalah dan persoalan sosiopolitik diselesaikan lebih mudah.
Begitu juga berkaitan masalah, pergolakan dan percaturan kuasa politik lebih mudah diselesaikan dan tidak mengambil masa lama.
Contoh, konflik Selatan Filipina dan Selatan Thailand melalui proses penyelesaian panjang dan sukar kerana didiami kelompok bangsa berbeza identiti dan kepentingan daripada kerajaan pusat. Perbezaan ini menjadikan konflik berlarutan, kompleks dan mengambil masa lama untuk diselesaikan.
Kebanyakan pimpinan negara menyedari hubungan rapat kedua-dua konsep ini terhadap kestabilan sosiopolitik serta pembangunan ekonomi. Justeru, usaha dilakukan untuk membentuk ciri negara inklusif demi kestabilan jangka panjang.
Malaysia tidak terkecuali, malah pada dekad awal kemerdekaan, pendekatan satu negara, pelbagai bangsa lebih menonjol.
Penduduk peribumi/bumiputera berbeza dengan kaum etnik imigran dalam beberapa aspek. Undang-undang asas negara, Perlembagaan Persekutuan menggariskan asas kukuh bagi membentuk satu negara, satu bangsa secara tersirat.
Pejuang kemerdekaan menyedari dari awal lagi kepentingannya kepada pembentukan sebuah negara yang bersifat satu negara, satu bangsa dan mencari jalan bagi mengelak daripada terbentuknya ciri-ciri negara bersifat satu negara, pelbagai bangsa.
Gagasan Malayan Union dan asas perlembagaan ditentang habis-habisan sehingga runtuh dan berjaya digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 (dasarnya menjadi asas perlembagaan Merdeka 1957 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963).
Walaupun berlaku beberapa perubahan tetapi asas yang dikaitkan dengan ciri satu negara, satu bangsa tetap ada dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga kini.
Beberapa perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai makna dan falsafah tersirat berasaskan prinsip satu negara, satu bangsa’ tetapi tafsiran perlu sentiasa dibuat pakar undang-undang perlembagaan agar peruntukan itu terus berkembang dan tidak menjadi ‘mandul’.
Perkara 3, Perkara 38, Perkara 152 dan Perkara 153 mempunyai makna besar dan mempunyai hubungan rapat dengan konsep satu negara, satu bangsa dan kestabilan sosiopoliik negara dalam jangka panjang.
Pengamal undang-undang, pakar undang-undang perlembagaan dan ahli akademik dalam bidang berkaitan hendaklah sentiasa membincang dan mengupas persoalan ini. Dalam masa sama ahli politik serta pentadbir utama negara perlu mengambil berat tentang hal ini.
Kesedaran mendalam tentang persoalan ini perlu dilihat penting dan utama dalam jangka panjang.
Pihak berkuasa dan pimpinan utama politik negara juga mempunyai hubungan rapat dalam hal ini. Siapa dan apakah falsafah utama pegangan politik yang menguasai negara ada hubungan dalam hal ini.
Ketika pentadbiran perdana menteri kedua nampak jelas persoalan satu negara, satu bangsa diambil berat.
Begitu juga perdana menteri ketiga dan keempat. Persoalan berkaitan pengukuhan kumpulan bangsa utama/orang Melayu berlaku dengan jelas. Kebanyakan dasar negara selaras pengukuhan kumpulan bangsa utama.
Hak-hak utama kumpulan dominan seperti pemberian biasiswa dan peluang ekonomi (seperti yang termaktub dalam Perkara 153) ditafsir agak tepat dan tidak dikesampingkan. Semua dasar negara ketika perdana menteri kedua merujuk falsafah Perkara 153.
Begitu juga Perkara 152 bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia dijelmakan dalam dasar dan amalan pendidikan di semua peringkat pengajian dari sekolah rendah hingga universiti.
Ini mungkin terkait falsafah dan perjuangan utama parti politik yang berkuasa. Yang penting kumpulan utama penduduk tidak berasa hak-hak mereka dipinggirkan.
Sokongan akan terus diberikan kepada parti politik yang berkuasa. Rangkaian sokongan dan kepentingan hak berlaku daripada rakyat kumpulan utama dan kuasa politik yang memerintah.

Kestabilan sosiopolitik berlaku dan pada umumnya pentadbiran serta politik negara dalam pentadbiran perdana menteri kedua, ketiga dan keempat berada dalam keadaan yang relatifnya stabil.
Adakah yang berlaku dalam tahun-tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mempunyai hubungan dengan perubahan dan perpecahan kumpulan penduduk utama/orang Melayu serta asas ciri-ciri satu negara, satu bangsa yang semakin longgar? Adakah gagasan 1 Malaysia tidak bercanggah dengan Perkara 153 dan prinsip asas satu negara, satu bangsa?
Perkembangan unsur-unsur yang bercanggah dengan prinsip satu negara, satu bangsa yang lebih menjurus pengukuhan satu negara, pelbagai bangsa harus dikawal.
Berdasarkan teori dan pengalaman sejarah negara, konsep satu negara, satu bangsa bersama sokongan politik yang padu terhadap parti yang jelas menjaga kepentingan kumpulan dominan, iaitu orang Melayu, menjadi asas kukuh bagi kestabilan politik negara.
Sejauh mana kestabilan politik negara dapat dijamin apabila diterajui parti-parti yang mempunyai falsafah dan perjuangan berbeza? UMNO dan DAP, contohnya, mempunyai asas ideologi yang sangat berlainan. Persoalannya, mampukah PKR menjadi pengikat dan membentuk gabungan yang kukuh, berteraskan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan konsep satu negara, satu bangsa, demi menjamin kestabilan politik jangka panjang?
Mengikut asas teorinya, sesebuah kerajaan akan menjadi kuat berasaskan parti yang mempunyai asas falsafah dan perjuangan yang sama. Andainya jika berlaku gabungan atau kerjasama antara parti-parti politik berbeza falsafah dan asas perjuangan, ia tidak akan kekal lama.
Perpecahan parti-parti politik berasaskan perjuangan membela kumpulan penduduk utama/orang-orang Melayu-Islam akan berakhir dan berlaku gabungan semula bila mana keadaan serta hak-hak kumpulan penduduk utama berada dalam keadaan terancam. Dengan situasi sekarang, adakah kerjasama antara PKR, DAP dan UMNO akan terus berpanjangan selain mampu membentuk kerjasama perpaduan yang benar-benar kuat atau berlaku perpecahan dan percaturan semula kuasa-kuasa politik Melayu/ parti-parti politik kumpulan penduduk utama?
Persoalan ini sukar dijawab ketika ini. Apa pun dalam memahami percaturan kuasa dan kestabilan sosiopolitik negara, asas yang diutarakan dalam satu negara, satu bangsa perlu diteliti dan difahami dengan mendalam.
Pengukuhan kepada satu negara, pelbagai bangsa dan unsur negatif harus disekat. Tidak semua yang dinyatakan dalam teori itu menepati realiti politik sebenar. Mungkin dalam beberapa keadaan yang dinyatakan dalam teori itu hanya bayangan dan tidak menepati dalam semua keadaan.
Cuma yang penting adalah terbentuknya sebuah kestabilan dan kemakmuran negara serta seluruh rakyat terbela serta terjamin.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.










