PETALING JAYA: Kemodenan dan pembangunan negara tidak boleh hanya diukur berdasarkan kemajuan prasarana semata-mata sebaliknya melalui nikmat kehidupan dan kebajikan yang dirasai semua rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan sempena sambutan Hari Wilayah semalam berkata, dalam mengejar pembangunan, tidak harus ada kelompok yang tercicir dan kemajuan itu perlu dinikmati semua secara saksama.
“Pembangunan negara tidak wajar hanya diukur melalui ketinggian bangunan, kemajuan fizikal atau kemodenan prasarana semata-mata, tetapi ia berakar menyentuh kehidupan serta kebajikan rakyat, dengan setiap langkah ke hadapan berpaksikan keadilan dan keperluan masyarakat.
“Segala usaha pembangunan mesti memastikan tiada kelompok tercicir daripada arus kemakmuran, agar hasil kemajuan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya semalam.
Beliau berkata, dalam menyambut Hari Wilayah Persekutuan, Kerajaan Madani akan terus menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan bersama.
“Justeru, semangat ihsan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi teras Kerajaan Madani akan terus diperkukuh demi menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan bersama.
“Selamat menyambut Ulang Tahun Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengajak rakyat Malaysia menjauhi isu berbaur hasutan dan perkauman dengan menyemai nilai saling menghormati adat dan budaya pelbagai latar belakang masyarakat sebagai asas kepada keampuhan semangat perpaduan.
Dalam ucapan Hari Thaipusam melalui Facebook, beliau berkata, perayaan itu menjadi satu mercu tanda kepada semangat kebersamaan di kalangan masyarakat Malaysia.
Katanya, ia juga menjadi bukti sikap saling hormat menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Dalam kepelbagaian budaya dan kepercayaan yang kita miliki, inilah keindahan Malaysia, rakyat saling menghormati, meraikan perayaan antara satu sama lain dan hidup dalam suasana harmoni. Perpaduan inilah yang menjadi tunjang kekuatan negara kita.
“Marilah kita terus menjauhi isu berbaur hasutan dan perkauman, sebaliknya menyemai nilai saling menghormati adat serta budaya sebagai asas kepada keampuhan semangat perpaduan sesama kita,” katanya.
Katanya, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani, budaya masyarakat tempatan yang saling meraikan perayaan setiap kaum juga wajar terus diperkukuhkan, demi membina negara yang sejahtera, inklusif dan penuh ihsan.
“Ayuh! terus raikan kepelbagaian, demi Malaysia yang bersatu, aman dan harmoni. Selamat Hari Thaipusam,” katanya. – UTUSAN










