Jangan salah anggap - AFC

Jangan salah anggap – AFC

Windsor Paul John
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penglibatan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bukanlah sebagai mengambil alih pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaliknya hanya menjalankan kajian dalaman bagi memperbaiki aspek tadbir urus badan induk itu.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menegaskan, AFC bertindak sebagai badan pemantau yang akan menjalankan soal selidik dan kajian menyeluruh bermula hari ini , bagi menilai struktur organisasi, statut dan peraturan FAM demi memastikan pengurusan yang lebih efektif.

“Bukan kita ambil alih pengurusan. Kita hanya buat kajian dalaman dan akan bentangkan laporan.

“Staf FAM dan Setiausaha Agung (GS) akan terus menjalankan tugas harian mereka seperti biasa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau menjelaskan, kehadiran AFC juga lebih kepada fungsi audit luaran yang mengkaji segala aspek pentadbiran FAM bagi mengenal pasti perubahan yang perlu dilaksanakan sebelum kongres FAM yang akan datang.

“Macam audit syarikat, auditor datang audit kewangan anda. Kita juga akan meneliti statut, struktur organisasi dan peraturan FAM secara menyeluruh. Ini penting untuk memperbaiki sistem dan memantapkan tadbir urus,” tambahnya.

Sementara itu, Windsor juga mengingatkan bahawa AFC bukanlah pihak yang akan menguruskan operasi harian FAM, sebaliknya peranan mereka hanya memberi cadangan berdasarkan hasil kajian dan laporan yang akan dibentangkan nanti.

Sebelum ini, FAM memilih pendekatan terbuka dengan memberi laluan sepenuhnya kepada AFC untuk menilai serta meneliti aspek tadbir urus badan induk itu dalam usaha memperkukuh pentadbiran dan hala tuju bola sepak negara.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, kehadiran pasukan pakar penilai AFC disifatkan sebagai peluang penting untuk mengenal pasti kelemahan sedia ada selain merangka pembaharuan yang lebih sistematik dan berkesan.

Menurutnya, sekretariat FAM bersedia bekerjasama rapat dengan pasukan berkenaan tanpa sebarang sekatan, termasuk membuka akses terhadap struktur organisasi, kewangan, statut dan mekanisme pentadbiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×