Kerajaan AS ditutup sementara isu tembakan di Minneapolis

Kerajaan AS ditutup sementara isu tembakan di Minneapolis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memasuki fasa penutupan separa pada Sabtu selepas Kongres gagal meluluskan bajet 2026 sebelum tarikh akhir pembiayaan tengah malam.

Fasa penutupan itu berlaku ketika ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan raya di Minneapolis dalam gelombang terbaharu kemarahan terhadap tindakan keras imigresen Presiden, Donald Trump

Namun gangguan dijangka terhad dengan Dewan Perwakilan bersedia bertindak awal minggu depan untuk meratifikasi perjanjian yang disokong Senat.

Kegagalan pembiayaan itu berpunca daripada keruntuhan rundingan susulan kemarahan Demokrat terhadap pembunuhan dua penunjuk perasaan di Minneapolis oleh ejen imigresen persekutuan, yang menggagalkan perbincangan mengenai peruntukan baharu untuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

“Daripada memburu penyeludup dadah, pemangsa kanak-kanak dan pemerdagang manusia, pentadbiran Trump mensia-siakan sumber berharga dengan menyasarkan penunjuk perasaan aman di Chicago dan Minneapolis.

“Pentadbiran ini terus menjadikan rakyat Amerika kurang selamat,” tulis Timbalan Ketua Minoriti Demokrat Senat, Dick Durbin, di media sosial.

Kira-kira tiga perempat operasi persekutuan terjejas, berpotensi mencetuskan prosedur penutupan merentasi pelbagai agensi dan fungsi kerajaan, termasuk pendidikan, kesihatan, perumahan dan pertahanan.

Jabatan persekutuan dijangka mula melaksanakan pelan penutupan semalaman, namun pemimpin Kongres dari kedua-dua parti berkata tindakan Senat meningkatkan kemungkinan gangguan itu bersifat singkat, bukannya kebuntuan berpanjangan.

Sekiranya Dewan Perwakilan meluluskan pakej tersebut seperti dijangka awal minggu depan, pembiayaan akan dipulihkan dalam beberapa hari, sekali gus mengehadkan kesan praktikal penutupan terhadap perkhidmatan kerajaan, kontraktor dan kakitangan persekutuan.

Bagaimanapun, jika penutupan berlarutan lebih daripada beberapa hari, puluhan ribu pekerja persekutuan berisiko diarahkan bercuti tanpa gaji atau terpaksa bekerja tanpa menerima bayaran sehingga pembiayaan dipulihkan.

Lewat Jumaat, Senat meluluskan satu pakej yang meluluskan lima rang undang-undang pembiayaan tertunggak bagi menampung kebanyakan agensi persekutuan hingga September, selain langkah sementara selama dua minggu untuk memastikan DHS terus beroperasi sementara penggubal undang-undang meneruskan rundingan mengenai dasar penguatkuasaan imigresen.

Dewan Perwakilan tidak bersidang ketika tarikh akhir berlalu dan dijadualkan kembali bersidang pada Isnin.

Trump menyokong perjanjian Senat itu dan menggesa tindakan pantas oleh Dewan Perwakilan, menandakan hasratnya untuk mengelakkan penutupan berpanjangan yang kedua dalam penggal keduanya selepas penutupan terpanjang tahun lalu mengganggu perkhidmatan persekutuan lebih sebulan.

Kemajuan di Senat hanya tercapai selepas Senator Republikan, Lindsey Graham dari Carolina Selatan menarik balik halangan prosedur yang menangguhkan pakej itu lewat Khamis.

Graham membantah peruntukan dalam langkah sementara DHS serta bahasa yang diluluskan Dewan Perwakilan untuk memansuhkan peruntukan terdahulu yang membenarkan senator menyaman Jabatan Kehakiman sekiranya rekod telefon mereka dirampas dalam siasatan lampau.

Beliau bersetuju menarik balik halangan itu selepas kepimpinan Senat berjanji mengadakan undian akan datang mengenai rang undang-undang tajaan beliau bagi memperketat tindakan terhadap apa yang digelar ‘bandar perlindungan’ yang enggan bekerjasama dengan operasi pengusiran persekutuan.

Demokrat pula kekal bersatu menentang pembiayaan baharu DHS tanpa perubahan terhadap penguatkuasaan imigresen susulan tembakan maut Alex Pretti dan Renee Good di Minneapolis.

Kematian mereka meningkatkan penelitian terhadap tingkah laku ejen persekutuan dan mengukuhkan penentangan terhadap kelulusan dana untuk agensi imigresen tanpa perlindungan baharu.

Pemimpin parti menuduh pihak berkuasa imigresen beroperasi tanpa pengawasan mencukupi dan menuntut pembaharuan, termasuk keperluan waran yang lebih ketat, had terhadap taktik penguatkuasaan tertentu serta akauntabiliti lebih besar terhadap ejen di lapangan.

Sebahagian besar media AS mentafsir kesediaan Rumah Putih memisahkan pembiayaan DHS daripada pakej bajet lebih luas sebagai pengakuan bahawa pentadbiran perlu menilai semula strategi pengusirannya susulan reaksi politik terhadap kematian di Minneapolis.

Namun, Republikan berpecah pandangan mengenai pendekatan itu.

Walaupun sebahagian penggubal undang-undang mengakui keperluan perubahan selepas insiden tembakan tersebut, golongan konservatif memberi amaran terhadap sebarang konsesi yang menurut mereka boleh melemahkan penguatkuasaan imigresen.

Beberapa ahli juga memberi isyarat akan menolak keutamaan mereka sendiri dalam rundingan DHS akan datang, termasuk langkah menyasarkan negeri dan bandar yang mengehadkan kerjasama dengan pihak berkuasa persekutuan.

Walaupun Kongres meluluskan enam daripada 12 rang undang-undang pembiayaan tahunan, peruntukan itu hanya meliputi sebahagian kecil perbelanjaan budi bicara.

Baki rang undang-undang membiayai sebahagian besar operasi kerajaan persekutuan, menjadikan penutupan ini signifikan sekiranya berlarutan.

Pejabat Pengurusan dan Bajet pada malam Jumaat mengeluarkan memo mengarahkan agensi bersiap sedia untuk penutupan teratur.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×