Larangan 3R di Malaysia merujuk kepada sesiapa yang mencetuskan perkara yang melibatkan Religion (Agama) Race (Bangsa) dan Royalty (Raja) yang akan diambil tindakan menurut undang-undang. Ini dinyatakan di Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Parlimen ke-15 2025.
Ketiga-tiga unsur 3R ini dijelaskan seperti di bawah:
Kehidupan beragama adalah jati diri utama semua rakyat Malaysia. Negara ini memegang prinsip bahawa semua warganya perlu berpegang kepada kehidupan beragama dengan menjadikan Kepercayaan kepada Tuhan sebagai prinsip pertama kepada Rukun Negara.
Menurut prinsip ini, semua warganegara Malaysia bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing dan perlu menghormati agama lain dan dilarang menghina agama lain.
Meskipun Melayu dan kaum bumiputera diberikan keistimewaan dan hak tertentu melalui undang-undang berbanding kaum lain, kaum lain juga diberikan hak untuk turut sama hidup dengan aman di negara ini.
Seharusnya kontrak sosial yang dipersetujui bersama sejak dahulu ini dipatuhi dengan mengelakkan pelbagai polemik yang mempertikaikan hak-hak kaum tertentu.
Prinsip Rukun Negara yang kedua menyebut Kesetiaan kepada Raja dan Negara menjadi salah satu nilai penting bagi mewujudkan keharmonian, keselamatan, dan kemajuan negara. Nilai kesetiaan itu menjadikan semua warganegara bertanggungjawab menghormati institusi Raja dan mempertahankan serta melindunginya.
Petikan daripada artikel bertajuk Menangani Isu-isu sensitif berkaitan agama, bangsa dan institusi raja (3R) dalam politik melalui pendekatan undang-undang: Suatu penilaian semula oleh Rositah Kambol Journal of Law & Governance,Volume 6 (No. 1) 2023: Undang-undang yang terpakai termasuk Kanun Keseksaan Seksyen 295 296 298, 298A,504,505,506 Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
Perlu juga dinyatakan sehingga hari ini tiada apa-apa panduan berkaitan apakah isu yang tidak boleh disentuh di dalam 3R dan tiada undang-undang spesifik diwartakan berkaitan 3R untuk panduan.
Oleh itu, pelaksanaan penguatkuasaan adalah berdasarkan undang- undang yang dinyatakan di atas yang mana setiap daripada peruntukan itu terdapat elemen berbeza. Bukan sahaja mempunyai elemen berbeza, undang-undang ini juga kebanyakannya digubal semasa media sosial tidak wujud semasa itu.
Contohnya, Akta Hasutan digubal pada 1948 sebelum negara merdeka. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 digubal semasa teknologi media massa dan penyebaran maklumat masih menggunakan bahan cetakan.
Oleh kerana tiada garis panduan tetap apakah isu 3R yang tidak boleh dibincangkan menjadikan ia satu perkara yang tidak jelas serta penguatkuasaan juga tidak cekap.
Seterusnya tindakan yang diambil sering menimbulkan penguatkuasaan tidak sama rata. Sedangkan menjadi prinsip Perlembagaan Persekutuan bahawa setiap warganegara adalah sama rata di bawah undang-undang.
Perlembagaan Persekutuan
Kesamarataan
8. (1) Semua orang sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
ABDUL GHANI ALI & ORS v. PP & ANOTHER APPEAL (2001)3 CLJ 769.
Walaupun prinsip kesamarataan wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam kes PP v Khong Teng Khen dan Datuk Harun Idris v. Public Prosecutor (1976) 1 LNS 19 menyatakan bahawa terdapat faktor-faktor diskriminasi yang dibenarkan oleh undang-undang.
Antaranya, seseorang kanak kanak hendaklah dilayan sebagai kanak- kanak di bawah undang undang dan perlu dibezakan dengan orang dewasa. Undang-undang boleh mengklasifikasikan individu sebagai suami, isteri, anak dan sebagainya dan peruntukan khas boleh digunakan terhadap mereka di bawah undang-undang.
Oleh itu, kembali kepada larangan 3R ini, ia haruslah juga ada peruntukan khas dalam mengklarifikasikan mereka yang melanggar larangan ini. Peruntukan ini haruslah melibatkan beban dan tanggungjawab dan hukuman khas bagi setiap kategori individu yang melanggar larangan 3R ini di bawah undang-undang khas.
Contohnya, seseorang yang melanggar larangan 3R ini, rakyat biasa berbanding seorang politikus yang ramai pengikut dan kenyataan yang dibuatnya lebih meluas sebarannya dan kesannya terhadap keharmonian dan keselamatan awam.
Kenyataan seseorang yang mempunyai status dalam agama dan kenyataan dibuat di tempat ibadah memberikan lebih kesan kepada masyarakat berbanding penjual ubat misalnya.
Perlembagaan Persekutuan di bawah Fasal 63
Keistimewaan Parlimen
63. (1) Kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.
Bagaimanapun dinyatakan, (4) Fasal (2) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dituduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) sebagaimana yang dipinda oleh *Ordinan No. 45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 (P.U. (A) 282/1970).
Seseorang ahli Parlimen yang membuat kenyataan 3R di dalam Parlimen tidak terlepas daripada diambil tindakan sebagaimana di dalam Kes PP v Mark Koding (1982) CLJU 96 dituduh di bawah Seksyen (4)(1) (b) Akta Hasutan 1948 namun hanya diberikan hukuman dua tahun berkelakuan baik sahaja.
Akta Hasutan 1948 tidak memberikan apa-apa definisi berkaitan kebencian, ketidakpuashatian, penghinaan dan membangkitkan perasaan tidak setia di bawah undang-undang dan definisi kabur ini selalunya disalah gunakan dalam tindakan penguatkuasaan.
Dalam pada itu, undang undang yang jelas juga perlu dibuat bagi mengekang laskar siber yang berlindung di bawah akaun palsu dalam menyebarkan dan membangkitkan isu sebegini. Dan terdapat pengguna media sosial yang melakukan kesalahan 3R ini berada di luar jangkauan penguat kuasa kerana mereka di luar negara.
Satu undang-undang perlu digubal bagi membanteras gejala ini dan melebarkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang jenayah terhadap yang di luar negara. Tanpa undang-undang serta garis panduan jelas, sukar untuk menilai garis sempadan sesuatu kenyataan berunsur 3R dan penyalahgunaan kuasa boleh terjadi.
Dalam lanskap penyebaran maklumat canggih – undang-undang yang setanding haruslah digubal dan dilaksanakan dan tidak bergantung pada undang-undang yang serba kekurangan. Akibatnya nanti berlaku ketidakadilan pelaksanaan undang-undang dan hanya segelintir diambil tindakan manakala ramai yang lain terlepas. Ini akan menimbulkan tohmahan bahawa berlaku ‘pilih kasih’ dalam penyiasatan pendakwaan dan hukuman.
DATUK SYED AZIMAL AMIR SYED ABU BAKAR ialah Pengamal undang-undang.










