KTMB tambah EMU+ dan ETS, jamin keselesaan penumpang musim perayaan

KTMB tambah EMU+ dan ETS, jamin keselesaan penumpang musim perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PETALING JAYA: Lonjakan luar biasa permintaan perjalanan rel sempena musim perayaan mendorong Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan perkhidmatan tambahan bagi memastikan kelancaran mobiliti rakyat.
Menurut KTMB dalam satu kenyataan, selaras keperluan mendesak itu, pihaknya bakal memperkenalkan perkhidmatan Unit Gandaan Elektrik (EMU+) sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi menampung permintaan tinggi khususnya laluan popular antara Lembah Klang dan Utara.
“Perkhidmatan EMU+ dijadualkan beroperasi pada 13 hingga 15 Februari serta 20 hingga 22 Februari 2026 melibatkan empat perjalanan sehari bagi laluan KL Sentral–Ipoh–KL Sentral,” katanya.
Katanya, sebanyak 1,200 tiket sehari ditawarkan melalui perkhidmatan EMU+ menjadikan keseluruhan 7,200 tiket tersedia sepanjang enam hari operasi, sekali gus memberi ruang perjalanan lebih selesa kepada orang ramai.
Dalam pada itu, KTMB turut menyediakan lapan perkhidmatan tren elektrik tambahan (ETS) sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri melibatkan beberapa laluan utama merentasi Semenanjung.
KTMB berkata, penambahan ETS ini merangkumi sektor KL Sentral–Ipoh, KL Sentral–Butterworth, KL Sentral–Padang Besar serta laluan selatan yang melibatkan JB Sentral dengan jumlah puluhan ribu tiket tambahan ditawarkan.
Perkhidmatan EMU+ dan ETS sepanjang musim perayaan ini dilihat sebagai usaha KTMB menangani kesesakan dan pembelian tiket saat akhir.
Langkah ini turut disokong persediaan operasi rapi termasuk penyelarasan jadual perjalanan dan sistem tiket yang tertakluk kepada kelulusan akhir Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Selain perkhidmatan bermusim, KTMB juga meningkatkan kapasiti jangka panjang dengan penambahan empat set tren ETS baharu yang menaikkan kekerapan perjalanan harian.
“Inisiatif menyeluruh ini mencerminkan komitmen berterusan KTMB dan kerajaan dalam memastikan pengangkutan awam rel kekal cekap, berdaya saing serta menjadi pilihan utama rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×