PUTRAJAYA: Pengumuman peruntukan bagi memulihara Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuktikan Kementerian Pengangkutan tiada sebarang hasrat untuk menswastakan syarikat milik kerajaan itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengumuman menerusi Belanjawan 2027 sekali gus menafikan dakwaan kononnya kementeriannya ingin menswastakan syarikat berkenaan.
Beliau berkata, fitnah berterusan itu diharap dapat dihentikan apabila pemuliharaan bangunan ikonik itu kelak akan dilaksanakan secara usahasama antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Khazanal Nasional Berhad.
“Kita dapat kelulusan untuk pemuliharaan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTMB sebagai usaha memelihara warisan sejarah pengangkuta negara.
“Ini adalah satu inisiatif penting iaitu bangunan ikonik Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTMB, dua bangunan bersejarah ini akan dipulihara oleh pihak Khazanah Nasional bersama RAC (Perbadanan Aset Keretapi).
“Dengan pengumuman ini, saya berharap dapat menoktahkan segala tuduhan dan fitnah yang menyatakan Kementerian Pengangkutan hendak jual bangunan KTMB.
“Ada pihak yang fitnah sepanjang masa kata Anthony Loke hendak jual KTMB termasuk bangunan kepada orang dan syarikat Cina. Ini tidak betul langsung, fitnah berterusan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, kedua-dua bangunan berkenaan adalah milik kerajaan yang cukup bersejarah dan ada nilai nostalgia.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2027.
Antara intipati Belanjawan 2027 termasuk memulihara dan menghidupkan semula Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Pentadbiran Keretapi Kuala Lumpur sebagai warisan negara. – UTUSAN











