BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk mengisytiharkan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) sebagai organisasi pengganas, susulan tindakan keras kerajaan Iran menumpaskan protes besar-besaran yang melanda negara itu.
Selain itu, blok 27 negara itu turut mengenakan larangan visa dan pembekuan aset ke atas 21 entiti dan pegawai Iran termasuk Menteri Dalam Negeri, Pendakwa Raya Agung dan komander serantau IRGC berikutan isu tersebut.
“Langkah ini sudah lama tertangguh. Pengganas memang wajar digunakan untuk menggambarkan rejim yang menumpaskan protes rakyatnya dengan darah,” kata Ketua EU, Ursula von der Leyen dalam hantaran di media sosial selepas menteri-menteri luar blok itu membuat keputusan.
Walaupun bersifat simbolik, tindakan EU itu mendapat amaran daripada Teheran ia akan membawa kesan yang sangat buruk.
Pihak berkuasa Iran mengakui ribuan terbunuh dalam protes itu, dengan jumlah melebihi 3,000 orang, tetapi mendakwa majoriti adalah anggota keselamatan atau orang awam yang terkena tembakan perusuh.
Kumpulan hak asasi manusia pula menyatakan jumlah sebenar lebih tinggi, berpotensi puluhan ribu dan mendakwa ramai penunjuk perasaan terbunuh oleh anggota keselamatan, termasuk anggota IRGC yang menembak secara langsung.
IRGC merupakan sayap ideologi tentera Teheran dan ditubuhkan selepas revolusi 1979 untuk melindungi kepimpinan ulama. Kumpulan ini mengawal atau memiliki syarikat di seluruh ekonomi Iran, termasuk sektor strategik utama.
“Anggaran kami, saluran diplomatik masih akan terbuka walaupun selepas IRGC dimasukkan dalam senarai ini,” kata diplomat tertinggi EU, Kaja Kallas.
Tindakan EU ini menyusuli pengumuman Perancis pada Rabu yang menyokong langkah itu, selepas langkah sama diambil Itali.
Sebelum ini, Paris dilihat enggan bertindak terhadap IRGC kerana bimbang kesan terhadap warga Eropah yang ditahan di Iran serta ingin mengekalkan hubungan diplomatik.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot menyeru Teheran membebaskan tahanan, menghentikan hukuman mati yang mengekalkan penindasan paling ganas dalam sejarah moden Iran, menamatkan sekatan internet dan memberikan rakyat Iran peluang menentukan masa depan mereka sendiri.
EU sebelum ini mengenakan sekatan ke atas ratusan pegawai dan entiti Iran berhubung penindasan protes terdahulu dan sokongan Teheran terhadap perang Russia di Ukraine.
Keseluruhan IRGC dan komander kanan mereka sudah pun dikenakan sekatan EU, justeru penambahan dalam senarai pengganas dijangka memberi impak yang kecil ke atas organisasi itu.-AFP











