Pendidikan perlu berjiwa, membina insan, bukan sekadar markah

Pendidikan perlu berjiwa, membina insan, bukan sekadar markah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA zaman dunia beralih lintas dengan begitu pantas, kita memerlukan ekosistem pendidikan yang memandu masyarakat agar tidak hilang arah tujuan.

Pendidikan menjadi tunjang yang boleh memperkasakan keinsanan masyarakat, terutamanya dengan perkembangan teknologi kebelakangan ini.

Pada Oktober tahun lalu, saya dijemput mengambil bahagian dalam sebuah persidangan antarabangsa berkenaan pendidikan untuk pembangunan mampan di bawah sebuah institusi Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU) di Okayama, Jepun.

Peluang tersebut membolehkan saya bekerja, berbincang dan bertukar fikiran bersama perwakilan terutamanya pakar-pakar pendidikan hebat dari seluruh dunia. Peluang itu membuka peluang perbincangan tentang hala tuju pendidikan. Saya melihat ekosistem pendidikan di negara yang maju masyarakatnya semakin terarah kepada kerangka pendidikan bersifat holistik dan mampan. Tumpuan kepada sudut bukan material ditekankan.

Masing-masing dalam kalangan pakar menentang keras jika pendidikan mengejar angka pencapaian semata-mata. Penarafan universiti lazim menjadi bahan tawa-tawa kerana ia sekadar melalaikan ahli akademik daripada tujuan sebenar pendidikan.

Hal ini berbeza dengan pandangan sesetengah pihak yang masih terikat kuat dengan kaedah menilai pendidikan hanya dari sudut kebendaan sehingga tujuan murni pendidikan dilupakan.

Pendidikan seolah-olah diperdagangkan untuk mengejar keuntungan lumayan ibarat komoditi yang menguntungkan. Yang dikejar serta diangkat hanyalah angka kedudukan penarafan dan markah tinggi untuk meraih keuntungan material.

Kita sering mengabaikan unsur kerohanian, insani dan ihsan dalam mendidik anak bangsa. Akibatnya, pendidikan menjadi beban kepada pelajar, menghakis semangat dan kenikmatan menuntut ilmu mereka.

Rancangan Pendidikan Negara (RPN) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 tiba pada saat kritikal untuk memandu hala tuju pendidikan negara kembali kepada tujuan pendidikan sebenar.

Kerangka dan aspirasi pendidikan tinggi yang digariskan memperlihatkan iltizam kerajaan untuk memanusiakan pendidikan negara berdasarkan empat nilai teras penting yang berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan.

Nilai-nilai teras RPTM terpasak teguh di jiwa saya. Dalam penglibatan sejak 2023 dalam dunia pendidikan untuk kemampanan pada peringkat antarabangsa, dapat perhatikan segala nilai sejagat yang dibincangkan dalam RPTM diangkat di peringkat antarabangsa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) berani melakukan anjakan paradigma besar demi mengangkat maruah pendidikan negara.

KPT dan KPM mengambil langkah tidak bersandarkan aspek popularis politik semata-mata, walaupun Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sudah berada di depan mata.

Namun, melaksanakan perubahan pada skala ini tidak mudah kerana melibatkan perubahan pemikiran yang menyeluruh dalam menterjemahkan matlamat pendidikan tinggi di Malaysia agar pelajar, ibu bapa dan ahli akademik berhenti menilai akademia berasaskan nilai material semata-mata.

 

 

RANCANGAN Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan pembangunan mampan. – FACEBOOK ZAMBRY ABD. KADIR

 

BUKAN KEJAR KPI SEMATA

Justeru, KPT jangan mengalah dalam memastikan roh RPTM benar-benar difahami, dihayati dan dilaksanakan secara menyeluruh dalam ruang lingkup institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

KPT mesti memastikan pendidikan tidak dijadikan kosmetik atau bahan syarahan dan tajuk kajian semata-mata.

Sebagai contoh, RPTM menekankan kemakmuran bersama selaras falsafah madani, ia mengutamakan kejayaan bersama, pengagihan sumber yang saksama, serta inovasi menangani isu masyarakat.

Ini bermakna, IPT perlu bekerjasama dengan komuniti dalam menangani cabaran setempat dan negara, membentuk pembelajaran sepanjang hayat serta memacu kemajuan dan pembangunan masyarakat.

Hasilnya, komuniti memperoleh manfaat daripada pemindahan ilmu, penyelesaian inovatif dan peluang pemerkasaan disediakan IPT. Di samping itu, mereka berpeluang menyertai inisiatif serta mencapai sumber daripada IPT untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi.

Inilah sebabnya RPTM menekankan penyelidikan dan inovasi bertanggungjawab dengan penyelidikan dan inovasi IPT wajib memberi dampak positif kepada masyarakat bukan hanya bertujuan meningkatkan penarafan universiti atau mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pensyarah semata-mata.

Institusi yang masih memaksa tenaga kerjanya mengejar KPI wajar dinasihati mengubah hala tuju agar tidak terlalu taasub dengan kebendaan duniawi. Malangnya, masih ada sesetengah pihak yang keras membantah naratif penyelidikan dan inovasi bertanggungjawab.

Prinsip memakmurkan masyarakat ditekankan RPTM sudah lama bertapak sejak bertahun lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Antara langkah terbesarnya memperkenalkan kursus Usrah in Action (Usrah Bertindak) pada 2021 yang wajib diambil selama dua semester berturut-turut.

Sepanjang kursus ini, pelajar rentas bidang akan turun ke lapangan bagi membantu masyarakat di luar dengan merancang dan melaksanakan sebuah projek.

Di lapangan, pelajar akan bekerjasama dengan masyarakat bagi mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian. Kami belajar dalam dunia sebenar, bukan suasana buatan bilik kuliah semata-mata.

Inilah yang disebutkan sebagai komuniversiti, yang menekankan kepentingan penyepaduan pembangunan masyarakat dan pendidikan. Itulah matlamat akhir pendidikan, bukannya untuk nama universiti tercatat megah besar dalam penarafan dunia.

Hal sama saya bentangkan dalam sebuah kertas kerja tentang usaha ini dalam sebuah persidangan pendidikan antarabangsa di Bogotá, Colombia pada Mei tahun lalu. Seperti di Okayama, perkara ini sudah begitu luas diterima dalam kalangan pakar dan ahli akademik antarabangsa.

Malang sekali, perkara sebegini begitu sukar untuk diterima dalam negara kerana ramai dalam kalangan kita masih berfikiran kolot, lalu enggan berubah kepada sesuatu yang baharu walaupun jika perkara itu lebih bagus.

Tidak mudah untuk mengubah pandangan dan persepsi sesetengah golongan pelajar, ibu bapa serta pengajar yang menentang usaha sebegini kerana tidak memberi pulangan material selain dikatakan tidak berkaitan dengan jurusan pengajian mereka.

Di sinilah kerajaan perlu memainkan peranan untuk melawan naratif sesetengah pihak ini.

Rakyat juga harus sedar pendidikan bukan bertujuan material tetapi bagi membangun insan sejahtera yang berguna.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×