KUALA LUMPUR: Universiti awam dan institusi penyelidikan di negara ini mempunyai kemampuan membangunkan vaksin sendiri tanpa perlu bergantung dengan pihak luar.
Setakat ini, telah ada kajian vaksin memasuki fasa ujian klinikal dan 55 projek pengembangan vaksin yang mendapat dana Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sehingga Mei lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib berkata, projek tersebut melibatkan 16 institusi penyelidikan, 40 peratus meliputi penyakit berjangkit ke atas manusia, 15 peratus barah manusia dan 45 peratus penyakit berjangkit terhadap haiwan.
“Di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030) dan rangka kerja 10-10 Malaysian Science, Technology, Innovation and Economy (10-10 MySTIE) menekankan pembangunan ekosistem kondusif yang mampu membawa kajian vaksin ke tahap pengkomersialan.
“Sebab itu di bawah dasar ini salah satu fokus utama adalah membangunkan Pusat Vaksin Negara dan mengarusperdanakan ujian klinikal sebagai pemangkin untuk menjadi lebih proaktif dalam membangunkan vaksin tempatan yang mampu memberi impak di rantau asia dan global.
“Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Covid 19, ada dua syarikat tempatan diberi kepercayaan untuk memproses dan membotolkan vaksin Covid 19. Ini adalah usaha kita untuk mengukuhkan rantaian ekosistem vaksin negara,” katanya di sini semalam.
Hazami bagaimanapun berkata, apa yang diperlukan sekarang adalah membangun dan mengkomersialkan vaksin kerana cabaran yang wujud merangkumi aspek R&D, proses pengembangan, ujian klinikal, pembuatan, program imunisasi, undang-undang dan peraturan serta keperluan keselamatan ekonomi dan kesihatan.
“Penglibatan industri tempatan dalam pembangunan vaksin manusia dan infrastruktur untuk pembuatan vaksin pra-klinikal sangat terhad. Kesinambungan pembiayaan end-to-end yang terhad juga menyebabkan sukar untuk merealisasikannya. Kita juga perlu menyediakan kemudahan First-in-Human (FIH) untuk biologi bagi membolehkan pembangunan vaksin.
“Tenaga pakar juga perlu dibangunkan kerana ketika ini, kepakaran yang ada hanya di peringkat penyelidikan asas vaksin tetapi untuk ke fasa seterusnya memerlukan lebih ramai pakar untuk memenuhi keperluan rantaian pembangunan vaksin secara keseluruhan,” katanya.
April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia belum mempunyai keupayaan asas menghasilkan vaksin sendiri namun pembuatannya boleh dijalankan jika vaksin sudah dikenal pasti.
Terkini, Vietnam dalam perancangan untuk membeli teknologi penghasilan vaksin Covid-19 supaya dapat memenuhi bekalan vaksin di dalam program COVAX manakala Thailand dilaporkan membangunkan vaksin Covid-19 serta melancarkan ujian klinikal ke atas manusia pada bulan ini.
Ditanya berkenaan kos untuk membangunkan vaksin, Hazami berkata, Malaysia mempunyai populasi penduduk yang kecil berbanding negara pengeluar vaksin seperti Amerika Syarikat, China dan Eropah.
Justeru katanya, untuk negara yang melaburkan kos yang tinggi untuk vaksin sendiri sahaja, pasaran yang kecil akan merencatkan kesinambungan pembangunan dan pemasaran vaksin di negara ini.
“Oleh itu, pendekatan strategik perlu dilakukan dengan bekerjasama dengan penyelidik atau pemain industri vaksin global seperti Oxford University dan Penn University. Penyertaan syarikat farmasi tempatan dan antarabangsa juga dapat mempercepatkan penguasaan negara dalam bidang ini.
“Adalah bermanfaat jika ada polisi keselamatan vaksin dan kemandirian untuk memastikan negara dapat memperoleh keuntungan dalam jangka masa panjang. Ini merangkumi kesiapsiagaan pada masa hadapan agar kita dapat menghadapi cabaran dengan lebih baik,” katanya. – UTUSAN











