Araghchi ke Ankara sertai rundingan dengan AS

Araghchi ke Ankara sertai rundingan dengan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dijadualkan tiba di Ankara untuk rundingan terakhir bagi mengelakkan serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS), ketika diplomat Turkiye cuba meyakinkan Teheran agar menawarkan konsesi terhadap program nuklearnya bagi mengelakkan konflik.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mencadangkan sidang video diadakan antara Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Iran, Masoud Pezeshkian.

Walaupun diplomasi berprofil tinggi seperti itu mungkin menarik minat pemimpin AS, ia dianggap sebagai langkah yang sangat berisiko bagi diplomat Iran yang lebih berhati-hati.

Rekod menunjukkan tiada rundingan terus secara rasmi diadakan antara kedua-dua negara sejak sedekad lalu.

Kunjungan Araghchi pada Jumaat ini berlaku di tengah-tengah diplomasi antarabangsa yang mendesak serta ancaman yang semakin agresif daripada kedua-dua pihak.

Menurut laporan Axios, pegawai kanan pertahanan dan perisikan dari Israel serta Arab Saudi juga berada di Washington minggu ini bagi membincangkan isu Iran.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, dalam mesyuarat kabinet pada Khamis menegaskan kementeriannya bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan ketenteraan daripada Trump.

“Iran mempunyai segala pilihan untuk mengadakan perjanjian. Mereka tidak seharusnya meneruskan keupayaan nuklear, dan kami bersedia untuk melaksanakan apa sahaja yang diharapkan oleh Presiden,” katanya.

Trump sebelum ini memberi amaran masa semakin suntuk buat Iran dan berikrar sebarang serangan AS akan bersifat ‘ganas’ serta jauh lebih meluas berbanding campur tangan AS di Venezuela awal tahun ini.

Bagaimanapun, ketika berucap di Pusat Kennedy pada malam Khamis, nada bicara Trump kedengaran lebih terbuka dengan menyatakan beliau merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Iran.

“Kami mempunyai banyak kapal yang sangat besar dan berkuasa sedang belayar ke Iran sekarang dan adalah lebih baik jika kami tidak perlu menggunakannya,” ujar Trump.

Di pihak Tehran, mereka kekal dengan pendirian tegas. Ketua Tentera, Mejar Jeneral Amir Hatami, mengumumkan sejak perang 12 hari pada Jun lalu, Iran telah menyusun semula taktik dan membina 1,000 dron laut serta darat.

Beliau mendakwa dron tersebut serta senjata misil balistik Iran yang meluas mampu memberikan respons dahsyat terhadap sebarang serangan.

Bagaimanapun, penganalisis melihat kelemahan ketenteraan terbesar Iran terletak pada sistem pertahanan udaranya.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, pula mendedahkan kira-kira 30,000 anggota tentera AS kini berada dalam jangkauan ribuan dron kamikaze serta misil balistik jarak dekat milik Iran.

Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters Tehran kini sedang mempersiapkan diri untuk konfrontasi ketenteraan, namun pada masa yang sama tetap menggunakan saluran diplomatik yang ada. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×